Semak fakta sebelum buat tuduhan liar, MIC beritahu Anwar

Semak fakta sebelum buat tuduhan liar, MIC beritahu Anwar

Presiden MIC SA Vigneswaran berkata ketua pembangkang itu sepatutnya 'buat sedikit penyelidikan' susulan dakwaannya berhubung salah guna dana tiga badan berkaitan parti itu.

Presiden MIC SA Vigneswaran berbual bersama rakan sejawatannya daripada Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada pelancaran Briged MIC hari ini.
KUALA LUMPUR:
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim digesa “membuat sedikit penyelidikan” sebelum menuduh tiga badan berkaitan MIC menyalahgunakan dana yang sepatutnya digunakan membantu masyarakat India.

Presiden MIC, SA Vigneswaran, mendakwa Anwar “membuat tuduhan liar yang tidak berasaskan fakta sama sekali”.

Katanya, Anwar membuat dakwaan itu susulan “berkemungkinan kehilangan modal untuk melontar fitnah terhadap parti MIC dan Barisan Nasional.”

Vigneswaran berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Briged MIC Kebangsaan dan Pameran Pencegahan Jenayah di Bukit Jalil, sebagai mengulas gesaan Anwar supaya dilakukan audit forensik terhadap tiga badan berkaitan MIC.

Anwar berkata, pertubuhan berkenan dikatakan menyalahgunakan dana kerajaan yang disediakan bagi masyarakat India. Beliau menamakan pertubuhan itu:

* Maika Holdings, syarikat pelaburan diasaskan MIC pada 80-an, namun berdepan skandal kewangan pada awal 90-an;

* Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna dana bermula 2019 hingga 2021; dan

*Cabang pendidikan MIC, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), yang didakwanya berlaku kemelut kewangan kesan salah urus tadbir.

Vigneswaran berkata, dana MIED diuruskan oleh lembaga amanah demi memastikan tiada salah guna berlaku, termasuk menjaga reputasi cabang pendidikan parti.

“Kami tidak menerima sebarang imbuhan daripada kerajaan,” katanya.

Sambil menyasarkan “serangan” kepada Pakatan Harapan, Vigneswaran mendakwa gabungan itu hanya menyatakan rasa sayang mereka kepada masyarakat India sekali setiap lima tahun ketika pilihan raya.

“Sebaliknya, MIC melihat agenda memperkasa hak masyarakat India seperti diamanahkan parti,” katanya.

Presiden MIC itu juga menekankan gesaan supaya Mitra, yang kini berada bawah kawal selia Kementerian Perpaduan Negara, diletakkan bawah Pejabat Perdana Menteri demi memastikan kecekapan pelaksanaan inisiatifnya.

Vigneswaran juga memohon kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang hadir pada majlis itu, memperuntukkan dana jutaan ringgit kepada belia India dan usahawannya yang perniagaan mereka sedang berdepan risiko.

“MIC juga mahu sejumlah angka diperuntukkan kepada masyarakat India bagi kemasukan ke matrikulasi ditingkatkan yang ketika ini pada 2,200 tempat.”

Vigneswaran juga menyentuh isu penguatkuasaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, yang dikatakan perlu digunakan terhadap kesalahan serius jenayah sahaja.

Katanya, ada kes di mana pihak berkuasa boleh menggunakan undang-undang lain seperti Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Jenayah, Akta Pencegahan Keganasan, dan Akta Dadah Berbahaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.