Mana draf RUU dana politik, kata Bersih

Mana draf RUU dana politik, kata Bersih

Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata tiada kumpulan masyarakat sivil telah dirujuk mengenai cadangan undang-undang baharu itu.

Pengerusi Bersih Thomas Fann menjangkakan akan timbul sedikit perbahasan dalam kalangan Ahli Parlimen dan pertanyaan daripada masyarakat sivil apabila RUU itu dibentang di Dewan Rakyat.
PETALING JAYA:
Kumpulan pemantau pilihan raya Bersih menggesa kerajaan melibatkan orang ramai dalam mengkaji cadangan undang-undang baharu mengenai pendanaan politik.

Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata kerajaan tidak belajar daripada kelewatan membentangkan rang undang-undang (RUU) anti-lompat parti dan generasi penamat (GEG), yang mengakibatkan pembentangan RUU itu di Parlimen dibuat tanpa mengadakan rundingan terlebih dahulu.

Fann berkata kumpulan masyarakat sivil masih belum meneliti RUU berkenaan, di mana Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini berkata pelaksanaannya akan dipercepatkan.

Kata Fann, beliau menjangkakan akan timbul sedikit perbahasan dalam kalangan Ahli Parlimen dan pertanyaan daripada masyarakat sivil apabila RUU itu dibentang di Dewan Rakyat.

“Terdapat kebarangkalian yang tinggi ia akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) untuk penalaan halus dan maklum balas sebelum dibentangkan semula,” katanya melalui temu bual eksklusif bersama FMT.

Fann berkata orang ramai perlu melihat RUU itu terlebih dahulu supaya “maklum balas yang berguna” boleh dipertimbangkan sebelum perundangan itu dibentangkan.

Pendanaan politik merujuk kepada cara parti politik dan ahli politik mengumpul wang untuk kempen pilihan raya mereka, operasi harian dan aktiviti lain.

Ahad lalu, Wan Junaidi berkata RUU itu dijangka dibentangkan pada mesyuarat di Dewan Rakyat Oktober ini.

Katanya, penyediaan draf rang undang-undang akan disediakan secepat mungkin bagi membolehkan semua pihak dirujuk.

Fann bagaimanapun berkata Bersih belum dirujuk untuk memberikan input mengenai RUU itu. “Tiada satu pun pertubuhan masyarakat sivil yang saya tahu telah didekati,” katanya.

Beliau berharap RUU itu tidak akan segera dibentang di Dewan Rakyat.

“Sesetengah daripada kita cukup pragmatik untuk mengetahui bahawa kita mungkin tidak akan mendapat RUU yang sempurna, tetapi jika ia adalah sesuatu yang 70% atau 80% daripada apa yang kita fikirkan sebagai RUU yang baik, kita bersedia untuk menyokongnya dan kita akan cuba memperbaikinya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.