
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, kemas kini yang diberikan Ketua Polis Negara (KPN), Acryl Sani Abdullah Sani semalam berhubung siasatan mereka tidak memuaskan kerana sudah lebih sebulan sejak Meta membuat dakwaan itu.
“Sudah 40 hari sejak Meta membuat pendedahan pada 5 Ogos lalu dalam Laporan Quarterly Adversarial Threat Report bahawa ia memadam ratusan akaun Facebook dan Instagram, halaman dan kumpulan yang menjadi sebahagian daripada ‘troll farm’ untuk mempengaruhi pengguna media sosial di negara ini.
“Kenapa polis mengambil masa berminggu-minggu dan berbulan-bulan untuk menangani masalah yang berfungsi dalam beberapa saat dan minit,” katanya dalam kenyataan.
Lim turut mempersoalkan sama ada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman akan menghubungi Meta untuk mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung dakwaannya.
Beliau yang sebelum ini mencadangkan siasatan awam diketuai hakim atau bekas hakim ke atas perkara itu, berharap KPN akan bersetuju dengan cadangan itu untuk memulihkan kredibiliti pasukan polis di mata orang ramai.
“KPN perlu menyatakan sama ada polis sedia bekerjasama dengan siasatan bebas, termasuk mempelawa Meta untuk mendedahkan bukti yang mengaitkan pasukan itu dengan ‘troll farm’.”
Pada 5 Ogos lalu, Meta mendakwa polis mungkin di sebalik rangkaian akaun dan halaman media sosial yang cuba memanipulasi wacana awam dalam negara ini.
Syarikat itu yang memiliki Facebook dan Instagram berkata, ia memadam 596 akaun Facebook, 180 halaman, 11 kumpulan dan 72 akaun Instagram kerana melanggar dasar “koordinasi perlakuan tidak sahih”.
Semalam, Acryl Sani berkata, Bukit Aman masih menyiasat perkara itu.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, namun saya sudah mengarahkan pihak JSJK untuk meneliti dakwaan berkenaan,” katanya.