Ahli perniagaan wanita calon PBDSB Parlimen Julau

Ahli perniagaan wanita calon PBDSB Parlimen Julau

Pemilihan Susan George yang juga ketua wanita PBDSB diumumkan presidennya, Bobby William.

Ketua Wanita PBDSB Susan George ketika menghadiri perhimpunan di Rumah Panjang Akun, Ngaga Matop, Julau, Sarawak. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) mengumumkan ketua wanitanya, Susan George sebagai calon kerusi bagi Parlimen Julau pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengumuman itu dibuat Presiden PBDSB, Bobby William pada perhimpunan di Rumah Panjang Akun, Ngaga Matop, Julau yang dihadiri kira-kira 500 orang.

Bobby berkata, pemilihan Susan, 37, yang juga ahli perniagaan dibuat kerana dia masih muda, berpendidikan serta lantang bersuara.

“Kami percaya dia boleh berkhidmat dengan baik untuk rakyat Julau jika dipilih,” katanya menurut The Borneo Post.

Kerusi Julau kini disandang Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng.

Jelas Bobby lagi, datuk dan nenek Susan berasal dari Julau dan kini menetap di Sibu Jaya.

“Tempat asal calon bukan isu besar di Julau kerana penyandangnya, Sng juga bukan dari sini.

“Kami mempunyai keyakinan terhadap Susan, mampu membuat kejutan di Julau kerana kawasan itu adalah kerusi majoriti Dayak (Iban),” katanya.

Beliau berkata, Susan sangat aktif di peringkat akar umbi dengan projek pertamanya ialah membantu kaum Dayak yang memerlukan pada tahun lalu.

Susan adalah bekas ahli PKR Sarawak sebelum menyertai PBDSB pada 2020. Selain Julau, PBDSB turut bertanding di dua lagi kerusi Parlimen pada PRU15 iaitu Sibuti dan Kapit.

Bobby berkata, Robert Saweng akan bertanding di Kapit manakala beliau sendiri akan bertanding di Sibuti.

Pada PRU lalu, PBDSB hanya bertanding di Sri Aman melalui presidennya ketika itu, mendiang Cobbold John Lusoi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.