
PETALING JAYA: Remaja berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang bersama ibunya di laut berhampiran Jalan Danga Bay dekat Country Garden, Johor Bahru, petang semalam, ditemui lemas pada 8.43 malam.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Raub Selamat, mayat remaja itu, Lee Meng Xhun ditemui pada jarak antara tiga hingga lima meter dari tempat kasutnya diletakkan di kawasan tebing.
Bagaimanapun katanya, ibu mangsa dikenali Chai See Far, 37, masih belum ditemui.
“Mayat remaja itu sudah dibawa naik dan pengecaman akan dibuat waris,” katanya, menurut Harian Metro.
Media sebelum itu melaporkan kejadian dua beranak dikhuatiri lemas selepas dilihat terjun ke dalam laut dari tebing berketinggian 9.14 meter petang semalam.