Jangan buat kenyataan ‘tak bertanggungjawab’ mengenai laluan Melaka-Dumai, kata Ahli Parlimen

Jangan buat kenyataan ‘tak bertanggungjawab’ mengenai laluan Melaka-Dumai, kata Ahli Parlimen

Khoo Poay Tiong menggesa Exco dan kerajaan negeri agar berhenti membuat pengumuman ‘tanpa maklumat yang lengkap dan konsisten’.

Khoo Poay Tiong berkata, kerajaan Melaka mesti memberikan butiran penuh dan berhubung dengan pihak berkepentingan jika serius dengan cadangan membina jambatan atau terowong ke Dumai di Sumatera. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong menggesa seorang Exco kerajaan negeri supaya berhenti membuat pengumuman “tidak bertanggungjawab dan tanpa maklumat yang lengkap” mengenai laluan yang dikatakan akan menghubungkan Malaysia dan Indonesia.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Melaka Ab Rauf Yusoh berkata semalam, cadangan telah diterima untuk sambungan sejauh 120km antara kedua-dua negara, melalui Telok Gong di Masjid Tanah, Melaka, dan Dumai di Sumatera.

Dalam laporan Bernama, beliau berkata, pembangunan yang dicadangkan itu, yang akan melibatkan pembinaan terowong atau jambatan, akan mengambil masa 20 tahun.

Tambahnya, “kedua-dua negara pada dasarnya bersetuju untuk membuat kajian terperinci mengenai perkara itu”.

Khoo berkata, jika kerajaan negeri memang serius dalam melaksanakan projek seumpama itu, mereka bertanggungjawab untuk memberikan butiran penuh dan berhubung dengan pihak berkepentingan.

Menurutnya, Rauf juga telah mengumumkan pembinaan terowong kereta api bawah laut sepanjang 47km yang menghubungkan Melaka dan Dumai pada Mac.

Beliau berkata, kerajaan negeri mesti terlebih dahulu mendedahkan sama ada kajian kebolehlaksanaan dan analisis kos-faedah telah dilakukan untuk projek itu.

“Rauf dan kerajaan negeri harus berhenti membuat pengumuman secara membuta tuli tanpa maklumat yang lengkap dan konsisten,” katanya dalam kenyataan.

“Rauf (juga) tidak wajar membuat spekulasi bahawa projek tersebut akan mendatangkan pertumbuhan ekonomi tanpa mengemukakan sebarang fakta dan analisis.

“Pengumuman sedemikian adalah sangat tidak bertanggungjawab kerana ia menimbulkan keraguan dan kekeliruan di kalangan orang ramai dan para pelabur, di samping mencemarkan kredibiliti kerajaan.”

Khoo turut menggesa kerajaan persekutuan menyatakan pendiriannya berhubung perkara itu kerana ia akan menjadi projek infrastruktur awam utama yang melibatkan kerjasama rentas sempadan dengan negara lain.

Demi kepentingan ketelusan, katanya, Rauf harus mendedahkan nama dan butiran syarikat yang terlibat dalam projek yang dicadangkan itu, termasuk kelayakan dan keupayaan kewangannya untuk melaksanakan projek sebesar itu.

“Tiada syarikat swasta yang akan melaksanakan projek ini secara percuma,” kata Khoo.

“Apakah terma dan syarat konsesi yang diberikan? Adakah rakyat dan kerajaan akan membayar untuk projek ini secara tidak langsung?

“Orang ramai dan para pelabur telah memandang sinis terhadap pengumuman projek ini. Tidak dilupakan bahawa Melaka telah mempunyai banyak projek-projek ‘gajah putih’ dan yang terbengkalai sebelum ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.