
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Taufik Yaacob berkata tindakan kerajaan PAS yang menerajui Kedah, Kelantan dan Terengganu untuk tidak bubar DUN lebih awal adalah tindakan bagus untuk tidak membazirkan duit rakyat.
“Kita (Bersatu) hormati pandangan mereka. Memang perlu dibuat macam itu, buat apa nak bazir duit rakyat.
“Masa masih ada dan tidak ada masalah pun di tiga negeri itu iaitu di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Mereka boleh beri perkhidmatan pada rakyat,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berhubung kerajaan dipimpin parti itu yang menerajui Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak akan membubarkan DUN lebih awal daripada Mac tahun depan.
Pada 30 Ogos lalu, Takiyuddin dilaporkan berkata keputusan itu hasil Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS.
Pimpinan Umno sebelum ini mendesak pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan segera, namun Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden parti itu, sekadar meminta semua supaya ‘menunggu’ pengumuman tarikh pilihan raya umum itu.
Dalam pada itu, Taufik mempersoalkan mengapa perlu mengganggu gugat kerajaan yang stabil sedangkan tiada mana-mana ADUN boleh usul undi tidak percaya di tiga negeri itu.
“Dalam keadaan sihat dan stabil, kenapa nak cari sesuatu benda yang tidak stabil.
“Buat apa nak bubar awal jika tak ada masalah pentadbiran itu,” katanya.