PSB sasar rampas kerusi bandar Sarawak daripada DAP

PSB sasar rampas kerusi bandar Sarawak daripada DAP

Presiden PSB, Wong Soon Koh berkata, partinya tiada pilihan kecuali 'berlawan' dengan DAP yang bertegas semua kerusi penyandang tidak boleh dirunding.

Rundingan pengagihan kerusi pada PRU15 antara Parti Sarawak Bersatu dan DAP gagal mencapai kata sepakat.
PETALING JAYA:
Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan mencabar DAP untuk kerusi bandarnya di Sarawak, selepas rundingan antara dua parti pembangkang itu gagal mencapai kata sepakat.

Presiden PSB, Wong Soon Koh berkata, mereka tiada pilihan kecuali “berlawan” dengan DAP yang menyatakan semua kerusi penyandangnya tidak boleh dirunding.

“Nampaknya (DAP) tidak menjadikan pilihan raya negeri (Disember lalu) sebagai iktibar. Mari kita lihat sebabnya kerana tiada jalan keluar untuk kami, jika tidak PSB tidak akan mempunyai kerusi bandar untuk ditandingi,” katanya menurut laporan The Borneo Post.

Wong Soon Koh.

Wong berkata, PSB akan bertanding 10 hingga 12 kerusi Parlimen Pada PRU15, dengan kerusi bandar akan diagihkan antara PSB dan parti tempatan lain seperti Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Katanya, PSB sedang berusaha membentuk barisan bersatu dengan parti tempatan lain, iaitu PBK, Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB).

Ketua pembangkang negeri itu berkata, ini bermakna DAP akan bersaing dengan parti pembangkang tempatan di setiap kerusi Sarawak, selain calon daripada Gabungan Parti Sarawak.

Wong turut memberi bayangan Setiausaha Agung PSB yang baru dilantik, Baru Bian mungkin bertanding di kerusi Parlimen Lawas pada PRU15, jika beliau memilih tidak mempertahankan kerusi Parlimen Selangau.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Henry Sum Agong ialah Ahli Parlimen Lawas selama tiga penggal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.