
Memetik statistik Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Yii berkata lebih setengah juta pelajar perempuan dianggarkan terlepas menerima vaksin HPV sejak wabak melanda.
Beliau berkata, vaksin HPV mampu melindungi daripada 90% kanser berkaitan HPV, termasuk kanser serviks.
Kanser serviks ialah jenis kanser ketiga paling lazim dalam kalangan wanita di negara ini.
“Itulah sebabnya pelan tindakan yang komprehensif bagi memastikan pelaksanaan program vaksinasi yang betul menjadi keutamaan dan mesti dinyatakan dengan jelas dalam belanjawan akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan laporan NCSM, Yii berkata, inokulasi berkurangan di hampir semua negeri dari 2020 hingga 2022. Di Sarawak, katanya, inokulasi yang berjaya menurun daripada 30% pada 2020 kepada 12.5% pada tahun ini.
“Tahun ini, tiada satu pun daerah atau zon di Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Johor dan tiga wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, melaporkan program inokulasi HPV yang berjaya.
“Oleh sebab itu, wujud keperluan mendesak untuk memulakan dan mengutamakan semula program vaksinasi itu, sambil melaksanakan pelan pencepat yang komprehensif untuk melindungi kanak-kanak perempuan kita dengan lebih baik daripada virus yang membawa maut ini,” katanya.