Kajian bina LPT3 siap, kini tunggu keputusan EPU berhubung peruntukan, kata menteri

Kajian bina LPT3 siap, kini tunggu keputusan EPU berhubung peruntukan, kata menteri

Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof berkata, kementeriannya kini sedang menunggu tindakan selanjutnya daripada agensi berkenaan.

Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof berkata, pelaksanaan LPT3 juga bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan.
KUALA LUMPUR:
Kajian pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) selesai dijalankan dan telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, kata Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof.

Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang menunggu tindakan selanjutnya daripada agensi berkenaan dan EPU akan membuat keputusan sama ada perbelanjaan LPT3 akan diperuntukkan dalam Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) atau seterusnya.

Menurut Fadillah, ia juga bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan dan mengambil kira keutamaan projek yang dikemukakan oleh setiap negeri.

“Tanggungjawab kita (KKR) adalah membuat kajian. Sekarang kita tunggu apa hala tuju baharu dari segi peruntukan.

“Setelah kita dapat hala tuju, barulah kita akan tahu bila ia akan dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran Persidangan dan Pameran Jalan Malaysia (MRC) ke-11 serta Kongres Persekutuan Jalan Antarabangsa (IRF) Wilayah Asia-Pasifik keempat di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini meluluskan pelaksanaan pembinaan LPT3 dengan kos kerja-kerja awalan keseluruhan berjumlah RM35 juta.

Cadangan pembinaan LPT3 melibatkan jarak 150km bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Tumpat, Kelantan.

Mengulas mengenai isu kekurangan tenaga kerja dalam bidang pembinaan, Fadillah berkata, masalah tersebut telah berkurangan susulan kemasukan semula pekerja asing ke negara ini sejak bulan lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.