
Ketua Pemuda Umno Seremban Zool Amali Hussin, berkata pelawaan itu dibuat apabila menteri kesihatan itu, hari ini, mengakui bakal ‘berpindah’ ke kawasan Parlimen lain, selepas Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, dikatakan mahu bertanding di kerusi yang disandangnya.
“Kita semua tahu bahawa Rembau pasti akan jadi milik Tok Mat (Mohamad). Bagi saya Tok Mat dan Khairy adalah pemimpin tersohor dilahirkan Umno.
“Amat rugi jika Khairy tidak bertanding pada PRU15 (pilihan raya umum ke-15), dan saya harap impian Umno untuk bertanding di Seremban dapat tercapai, sekali gus mampu memberikan satu kerusi untuk BN (Barisan Nasional) dalam membentuk kerajaan kelak,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Pada PRU14, kerusi Parlimen Seremban dimenangi Loke Siew Fook dari DAP dengan majoriti sebanyak 30,694 undi. Loke merupakan setiausaha agung DAP.
Kerusi Seremban secara tradisinya ditandingi MCA, namun parti komponen BN itu tewas, sejak 2008.
Hari ini, Khairy berkata, beliau tidak akan bertanding dalam PRU15, jika tidak diberikan kawasan.
“Saya (baru-baru ini) menerima satu mesej daripada (timbalan presiden Umno) Mohamad (Hasan) untuk memberi laluan,” katanya dalam sidang media.
“Saya akan ikut apa yang Umno mahu dan di mana mereka mahu saya bertanding. Tak apa. Saya belum terima sebarang arahan. Saya akan berasa malu untuk ceroboh kawasan lain.
“Tak apa. Senario terburuk, saya tidak akan bertanding,” katanya yang memenangi kerusi Parlimen Rembau sejak 2008.