Implikasi asing kuasa pendakwa raya, peguam negara masih dikaji, kata menteri

Implikasi asing kuasa pendakwa raya, peguam negara masih dikaji, kata menteri

Untuk melaksanakan cadangan itu di Malaysia, sebanyak 19 undang-undang sedia ada termasuk Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda, kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau menyokong cadangan pengasingan kuasa itu, namun kajian menyeluruh diperlukan sebelum sebarang keputusan dibuat.
KUCHING:
Kerajaan masih mengkaji implikasi cadangan pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, walaupun banyak negara lain termasuk negara Komanwel telah melakukan pengasingan itu, namun cadangan itu bukan mudah untuk dilaksanakan.

Untuk melaksanakan cadangan itu di Malaysia, sebanyak 19 undang-undang sedia ada termasuk Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda, jelasnya.

Selain itu, perkara tersebut juga melibatkan kos yang memerlukan penambahan kepada perbelanjaan kerajaan.

“Apabila diasingkan, peguam negara perlu ada pejabatnya sendiri, perpustakaan, staf serta penasihat sendiri kerana tidak lagi boleh berkongsi dengan pendakwa raya.

“Kita juga tidak tahu berapa juta diperlukan setahun untuk membiayai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan wang deposit pembelian tanah Masjid Kampung Sejingkat di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, beliau menyokong cadangan pengasingan kuasa itu, namun kajian menyeluruh diperlukan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Semalam, penganalisis politik Universiti Sunway, Wong Chin Huat dalam tulisannya yang dilaporkan dalam media tempatan mencadangkan agar peranan pendakwa raya diasingkan daripada peguam negara sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, cadangan tersebut perlu supaya pendakwa raya boleh “bebas” daripada sebarang gangguan politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.