Saya masih penasihat khas PM, kata Azalina

Saya masih penasihat khas PM, kata Azalina

Ahli Parlimen Pengerang itu mengesahkan perkara itu di Facebook pagi ini, susulan laporan berita semalam bahawa beliau telah meletak jawatan.

Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said dilantik sebagai penasihat khas perdana menteri pada 2 Okt tahun lepas.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said mengesahkan beliau masih penasihat khas undang-undang dan hak asasi manusia kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menyatakan demikian susulan laporan Sinar Harian, yang memetik sumber, bahawa ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu telah meletak jawatan sebagai penasihat khas Ismail semalam.

“Saya ingin mengesahkan bahawa setakat 31 Ogos 2022, saya masih berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (kepada perdana menteri),” katanya dalam catatan di Facebook pagi ini.

Beliau turut mengambil peluang untuk mengucapkan “Selamat Hari Merdeka yang ke-65” dalam catatan itu.

Azalina membuat kenyataan ini empat hari selepas menegur Ismail berhubung pengekalan Idrus Harun sebagai peguam negara.

Dalam taklimat khas anjuran Umno pada Sabtu, susulan pemenjaraan bekas perdana menteri Najib Razak pada 23 Ogos, beliau berkata, kuasa peguam negara adalah sangat besar dan “tidak boleh dipertikaikan”.

“Sesiapa yang jadi perdana menteri akan melantik orang dia untuk jadi peguam negara,” tambahnya.

Komen Azalina itu mendapat kritikan daripada Ahli Parlimen DAP Beruas Ngeh Koo Ham, Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin dan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari.

Menurut mereka, komennya itu bercanggah dengan seruannya sebelum ini agar pembaharuan dilaksanakan di Jabatan Peguam Negara, serta membuktikan bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) mempunyai kawalan atas penjawat awam.

Thomas Fann daripada kumpulan pemerhati pilihan raya Bersih turut mengkritiknya, serta mengulangi perlunya pendakwa raya bebas dan tidak tertakluk kepada pengaruh cabang eksekutif kerajaan.

Azalina dilantik sebagai penasihat khas perdana menteri pada 2 Okt tahun lepas.

Beliau melepaskan jawatan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat pada 23 Ogos tahun yang sama, seminggu selepas Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai perdana menteri. Timbul spekulasi pada masa itu bahawa beliau akan dilantik sebagai menteri oleh Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.