Bersara tahun ini, tugas Osman Jalani sebagai penyimpan Jalur Gemilang berakhir

Bersara tahun ini, tugas Osman Jalani sebagai penyimpan Jalur Gemilang berakhir

Pegawai DBKL itu berkongsi kenangan manis sepanjang 20 tahun menjaga Jalur Gemilang dan menaikkannya pada setiap sambutan Hari Kebangsaan.

Pegawai DBKL Osman Jalani mengimbas detik kemuncak kerjayanya, apabila diberi tanggungjawab menaikkan Jalur Gemilang gergasi di tiang bendera tertinggi negara pada setiap sambutan Hari Kebangsaan.
KUALA LUMPUR:
Dengan air mata yang bergenang, Osman Jalani mengenang kembali pencapaian paling membanggakan sepanjang kerjayanya – mengibarkan Jalur Gemilang gergasi di tiang bendera tertinggi negara pada setiap sambutan Hari Kebangsaan.

Sebagai pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Osman dipertanggungjawabkan menjaga bendera kebangsaan sejak 20 tahun lalu, mungkin juga sudah menjadi takdirnya setelah menjadi pembawa bendera pada perhimpunan sekolah sejak berusia 10 tahun.

Bagi Osman, pengiraan detik tibanya Hari Kebangsaan menjadi acara paling menonjol. Sebaik masuk waktu tengah malam, beliau dan pasukannya akan menaikkan Jalur Gemilang dan menyanyikan Negaraku bersama ribuan orang yang berhimpun di Dataran Merdeka.

Momen Jalur Gemilang dinaikkan pada tiang yang berdiri megah di atas dek setinggi 40m, disambut 50,000 wajah menatapnya sentiasa membuat Osman rasa terharu.

Osman Jalani memerhatikan pekerja memasang bendera pada tiang.

Namun setiap yang indah pasti berakhir, apabila beliau terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Jalur Gemilang kesayangannya tahun ini kerana akan bersara wajib daripada perkhidmatan awam apabila mencecah usia 60 tahun.

Osman berkata, antara tugasnya adalah untuk memastikan supaya bendera gergasi yang diperbuat daripada kain berkilat “twinkle satin” itu dalam keadaan sebaiknya menjelang Hari Kebangsaan.

Malah disebabkan kasih dan semangatnya, Osman sanggup memindahkan pejabatnya supaya dapat menatap Jalur Gemilang itu dengan bangga setiap hari.

“Pejabat saya (sekarang) menghadap bendera utama. Setiap kali saya dongak (daripada komputer), saya dapat lihat bendera saya.

Osman Jalani menatap Jalur Gemilang berkibar.

“Sepanjang lapan jam berada di pejabat, rasanya saya tatap bendera itu selama tujuh jam,” katanya.

Bendera itu akan ditukar secara berkala bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan baik, jelas Osman.

Katanya, DBKL belum lagi melantik pegawai lain untuk mengambil alih tugasnya selepas beliau bersara.

Osman Jalani terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Jalur Gemilang kesayangannya tahun ini kerana akan bersara.

“Ada beberapa pegawai muda yang sering ikut saya. Harap-harap mereka dapat gantikan saya. (Saya percayakan mereka) kerana mereka memang telah tunjuk komitmen,” katanya.

Osman mengakui gembira atas sumbangan kecilnya ini kepada negara, malah tanggungjawabnya yang unik itu turut menjadi bahan cerita anak-anaknya kepada rakan mereka.

“Bagi saya, sebagai rakyat Malaysia, tidak kiralah siapa pun anda – Cina, India, Sikh, Kadazan-Dusun, Iban – kita semua berkongsi bendera yang sama dan patut bangga dengannya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.