
Naib presiden PBM K Shatish berkata, parti itu berpendapat kenaikan harga bagi barangan isi rumah yang lazim “amat tidak perlu.
“Kami menyeru pengeluar roti Gardenia untuk tidak membuat sebarang keputusan berdasarkan pertimbangan kewangan semata-mata,” katanya dalam kenyataan.
Shatish berkata, langkah menaikkan harga roti pada ketika ini hanya akan membebankan rakyat, terutamanya bagi kumpulan B40 dan M40.
PBM juga khuatir bahawa kenaikan yang dicadangkan ini akan membawa kepada kesan domino dalam harga barangan dan perkhidmatan lain.
Selain itu, kata Shatish, wujud kemungkinan jenama pesaing akan turut mengambil peluang menaikkan harga produk mereka.
“Walaupun kami faham bahawa keputusan untuk menaikkan harga roti itu adalah disebabkan kenaikan harga bahan mentah, PBM juga sedar bahawa pengeluar roti ini ialah anak syarikat salah satu konglomerat terbesar di negara ini.
“Oleh itu, syarikat ini akan tentu dapat menyerap sebarang kejutan kewangan dengan lebih baik berbanding perniagaan yang lebih kecil,” katanya.
Pada Ahad, Gardenia mengumumkan akan menaikkan harga roti, sapuan dan produk lain keluarannya mulai 1 Sept.
Syarikat itu berkata, impak inflasi terhadap bahan mentah memaksa harga dinaikkan untuk kali kedua dalam tempoh kurang setahun. Kali terakhir harga produknya dinaikkan adalah pada 1 Dis 2021.
Bermula 1 Sept, Gardenia Original Classic 400g akan dijual pada RM3 (naik 20 sen), Original Classic Jumbo 600g RM4.30 (naik 30 sen) dan Breakthru Wholewheat 400g RM4 (naik 40 sen).
Harga bagi produk roti gulung berkrim perisa vanila, gula mentega dan karamel masin dinaikkan 10 sen kepada RM1.10 sen setiap satu.
Peningkatan harga terbaru ini disebabkan kenaikan berterusan harga bahan mentah seperti tepung dan lemak sayuran, kata Ketua Pegawai Eksekutif Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, Koh Chin Huat, dalam suratnya kepada peruncit yang menyenaraikan 53 produk keluaran mereka yang terkesan.