Mufti nasihat penganjur batal ‘Glamping With Pride’, bertaubat

Mufti nasihat penganjur batal ‘Glamping With Pride’, bertaubat

Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil berkata ia adalah satu bentuk mempromosikan perbuatan maksiat dan dosa secara terbuka.

Ahmad Fauwaz Fadzil
Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil berkata pintu taubat sentiasa terbuka bagi yang ingin kembali kepada fitrah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan penganjur program ‘Glamping With Pride’ yang didakwa mempromosikan gaya hidup dan budaya songsang membatalkan atau menghentikan aktiviti bertentangan fitrah manusia itu.

Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, penganjuran program yang cuba menyuntik elemen itu biarpun dikaburi dengan aktiviti rekreasi yang kelihatan normal seperti glamping, jelas dilarang.

Katanya, ia adalah satu bentuk mempromosikan perbuatan maksiat dan dosa secara terbuka terutama di negara ini yang meletakkan agama Islam sebagai istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Dari perspektif maqasid syariah, penganjuran program sedemikian jelas bercanggah dengan prinsip pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl) dalam syariat Islam.

“Ini kerana pensyariatan pernikahan antara pasangan berlainan jantina bertujuan untuk mengembangkan zuriat manusia secara sah, di samping mencegah mafsadah (kerosakan) yang terhasil daripada perbuatan zina dan hubungan sejenis.

“Bahkan, tindakan mempromosikan budaya ini dianggap sebagai menyebarkan fahsya’ (perkara keji) dalam kalangan orang beriman,” katanya menurut Berita Harian.

Media sebelum ini melaporkan penganjur program ‘Glamping With Pride’ akan meneruskan program itu di Hulu Langat hujung minggu depan walaupun mendapat bantahan.

Kumpulan dikenali sebagai Jejaka menegaskan program selama dua hari itu adalah ‘retreat’ berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya, dan kesedaran kesihatan.

Sementara itu, Fauwaz berkata individu terbabit program maksiat perlu dikenakan tindakan tegas dan hukuman yang berat setimpal dengan kejelekan maksiat dilakukan.

Katanya, namun jika ada dalam kalangan mereka ingin bertaubat dan menyesal dalam perbuatan itu, pintu taubat sentiasa terbuka bagi yang ingin kembali kepada fitrah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.