Umno mahu PRU awal demi selamatkan pihak tertentu daripada kes mahkamah, dakwa Muhyiddin

Umno mahu PRU awal demi selamatkan pihak tertentu daripada kes mahkamah, dakwa Muhyiddin

Pengerusi PN itu menganggap gesaan Ahmad Zahid Hamidi mahu PRU diadakan segera kerana BN menyedari mereka bukan gabungan parti yang kuat.

Muhyiddin Yassin berkata Perikatan Nasional bersedia menghadapi bila-bila masa PRU termasuk jika ia diadakan tahun ini.
SERDANG:
Umno “tidaklah kuat sangat” jika berkeras mahukan PRU15 diadakan tahun ini, sebaliknya, desakan itu dibuat hanya untuk menyelamatkan pemimpin parti yang menghadapi kes mahkamah, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.

“Saya baca kenyataan presiden Umno merangkap pengerusi Barisan Nasional (Ahmad Zahid Hamidi). Dia kata pilihan raya mesti diadakan pada tahun ini bukan tahun depan. Kalau tunggu tahun depan, Barisan Nasional mungkin akan kalah. Saya seronok baca kenyataan ini. Maknanya, mereka tu taklah kuat sangat.

“Kita juga dapat laporan bahawa kepercayaan rakyat terhadap BN makin merosot. Apatah lagi tujuan desakan supaya pilihanraya diadakan lebih awal adalah semata-mata untuk mendapatkan kembali kuasa bagi menyelamatkan pihak-pihak tertentu daripada hukuman mahkamah,” kata Muhyiddin ketika berucap di Konvensyen Perikatan Nasional (PN) 2022 di MAEPS Serdang.

Antara pemimpin Umno yang berdepan kes mahkamah ialah Zahid, bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim dan Shahrir Samad.

Selasa lalu, bekas presiden Umno, Najib Razak mula menjalani hukuman penjara 12 tahun dan diarah membayar denda RM210 juta setelah Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan tujuh tuduhan terhadapnya, melibatkan dana RM42 juta SRC International.

Zahid,  sebelum ini, memberi amaran Barisan Nasional yang ditunjangi Umno menanggung risiko kalah pada pilihan raya umum akan datang jika ia tidak diadakan tahun ini.

Setakat ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno, belum memberikan petanda jelas bila PRU akan diadakan. Mandat kerajaan pimpinan beliau yang merangkumi BN, PN dan beberapa parti lain, berakhir Julai depan.

Bagaimanapun, pengumuman Ismail semalam bahawa pembentangan Belanjawan diawalkan tiga minggu, iaitu pada 7 Okt meniupkan spekulasi PRU akan diadakan dalam tempoh terdekat, mungkin seawal Nov.

Pada konvensyen itu, Muhyiddin sekali lagi mengingatkan Ismail untuk merujuk kepada PN dan parti lain dalam kerajaan sebelum memuktamadkan pembubaran Parlimen, sebagaimana yang dipersetujui sebelum ini.

“Beliau (Ismail) kena runding dengan kita dulu kerana kita juga adalah sebahagian daripada kerajaan. Tak tahu lah saya sama ada perdana menteri masih ingat adanya perjanjian itu,” kata Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri.

Apa pun, Muhyiddin berkata, sebagai “anak jantan” PN bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

“Prinsip kita ialah lawan yang mungkar, pilih integriti dan terus prihatin kepada rakyat kerana itu lah tujuan kita berada di dalam wadah PN,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.