Setiausaha agung Muda didakwa esok berkait protes LCS

Setiausaha agung Muda didakwa esok berkait protes LCS

Setiausaha Agung Muda Amir Abd Hadi berkata beliau dimaklumkan oleh peguamnya bahawa beliau akan didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman.

Polis sebelum ini memanggil 13 individu yang terlibat dalam bantahan terhadap kontroversi projek kapal tempur pesisir (LCS).
PETALING JAYA:
Setiausaha agung Muda, Amir Abd Hadi akan didakwa di mahkamah esok berhubung protes “Mana Kapal LCS” di luar Kompleks Sogo, di Kuala Lumpur, dua minggu lalu.

Dalam hantarannya di Twitter, Amir berkata beliau telah dimaklumkan oleh peguamnya bahawa beliau akan didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman, pada 9.00 pagi esok.

“Esok pagi saya akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur di bawah Akta Perhimpunan Aman berkaitan himpunan ‘Mana Kapal LCS’. Kita akan terus lawan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, parti itu berkata pemimpin dan ahli Muda akan berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur esok sebagai solidariti kepada Amir.

Sebelum ini, dua ahli politik dan seorang aktivis pelajar telah didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan gagal memaklumkan kepada polis berkaitan perhimpunan bagi membantah kenaikan harga barang bulan lalu.

Tiga individu terbabit adalah Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda, Ketua Pemuda PKR bahagian Batu Muhd Sabda Suluh Lestari Yahya dan aktivis pelajar Aliff Naif Mohd Fizam.

Semua mereka adalah penganjur dalam tiga perhimpunan berasingan.

Terdahulu, polis telah memanggil 13 individu yang terlibat dalam bantahan terhadap kontroversi projek kapal tempur pesisir (LCS).

Perhimpunan pada 14 Ogos itu menyaksikan seramai kira-kira 200 orang berkumpul dan mendesak kerajaan supaya menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) serta meminta Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein meletak jawatan kerana gagal mengambil tanggungjawab ke atas projek bermasalah berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.