FCoEE latih usahawan asnaf kuasai digital, AI tingkat daya saing

FCoEE latih usahawan asnaf kuasai digital, AI tingkat daya saing

Seramai 40 peserta dilatih bagi meningkatkan keupayaan perniagaan dan lebih berdaya saing.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail Gambar Istana Arau 31326
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Keusahawanan Digital Asnaf dan Majlis Seri Aidilfitri FCoEE di Dewan Majlis Perbandaran Kangar (Dewan Sivik), Arau. (Gambar Istana Arau)
PETALING JAYA:
Faizuddin Center of Educational Excellence (FCoEE) meneruskan komitmen memperkasa golongan asnaf melalui program keusahawanan digital bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan ekonomi moden.

Program itu memberi tumpuan kepada pemasaran digital, penjenamaan produk serta penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan keupayaan perniagaan peserta.

Pengerusinya Kamarudin Hussin berkata, seramai 40 peserta disasarkan terdiri daripada Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM), usahawan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) serta komuniti peniaga kecil Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.

“Peserta mempunyai produk dan kemahiran asas yang baik, namun memerlukan bimbingan strategik untuk berkembang.

“Kami melihat potensi besar untuk mereka muncul sebagai usahawan lebih berdaya saing,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Keusahawanan Digital Asnaf dan Majlis Seri Aidilfitri FCoEE di Dewan Sivik, Arau.

Majlis pelancaran disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku penaung diraja FCoEE bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut berangkat, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail serta puteri-puteri baginda.

Dalam majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyaksikan pemeteraian persefahaman antara FCoEE dengan Dosz Academy dan ZAHA Bina bagi memperluas kerjasama strategik.

Sementara itu, Tuanku Lailatul Shahreen turut berkenan menyempurnakan simbolik pemotongan kek sempena hari keputeraan baginda pada 28 Mac lalu.

Majlis itu turut dihadiri Sasterawan Negara China, Liu Zhenyun yang mempersembahkan bukunya bertajuk “Tawa dan Tangis” untuk dihadiahkan kepada perpustakaan sekolah di Perlis oleh Pertubuhan Han Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.