Pernyataan saksi didraf tanpa kehadiran saya, kata bekas pegawai Perbendaharaan

Pernyataan saksi didraf tanpa kehadiran saya, kata bekas pegawai Perbendaharaan

Siti Zauyah Desa memberitahu mahkamah, pernyataan saksi itu diserahkan kepadanya pada saat akhir dan beliau 'tidak sempat membacanya'.

Shafee Abdullah berkata ini kali pertama dalam 46 tahun amalan perundangannya beliau bertemu dengan ‘saksi yang tidak bekerjasama’ seperti Siti Zauyah Desa (Gambar Bernama).
KUALA LUMPUR:
Peguam mewakili Najib Razak meminta pihak pendakwaan menarik balik keterangan salah seorang saksinya dalam perbicaraan 1MDB bekas perdana menteri itu.

Shafee Abdullah membuat permintaan itu semasa prosiding Mahkamah Tinggi hari ini, meminta keterangan bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan Siti Zauyah Desa ditarik balik kerana jawapannya yang berdolak-dalik dan ketidakupayaannya untuk mengesahkan kesahihan dokumen tertentu.

“Kita tidak akan ke mana-mana,” katanya sambil menambah, ini adalah ‘kali pertama’ dalam 46 tahun amalan perundangannya beliau menemui ‘saksi yang tidak bekerjasama’.

Terdahulu, Shafee mencabar Siti Zauyah dalam isu sama ada Kementerian Kewangan mempunyai kuasa untuk menghendaki 25% perwakilan pengarah dalam 1MDB.

“Adakah keistimewaan ini diberikan kepada syarikat MoF Inc (Menteri Kewangan Diperbadankan) yang lain?” soalnya.

Siti Zauyah membalas bahawa beliau tidak dapat menjawab soalan itu kerana ia membabitkan hal undang-undang.

Shafee kemudian menegaskan bahawa jawapan Siti Zauyah bercanggah dengan kandungan pernyataan saksi yang dikemukakannya di mahkamah. Dokumen itu telah didraf dengan “cantik”, katanya.

Siti Zauyah sekali lagi berkata, beliau tidak dapat menjawab soalan berkaitan hal undang-undang.

“Saya (cadangkan) rujuk hal undang-undang kepada peguam cara Perbendaharaan,” katanya.

Shafee kemudian berkata: “Saya tak tahu kenapa beliau dipanggil (menjadi saksi).”

Shafee: Adakah kamu yang draf pernyataan saksi kamu (untuk prosiding ini)?

Siti Zauyah: (Pernyataan saksi itu) didraf oleh dua pegawai Perbendaharaan.

Saksi itu memberitahu mahkamah, pernyataan saksi itu diserahkan kepadanya pada saat akhir sebelum beliau datang ke mahkamah, sambil menambah “beliau tidak berkesempatan membacanya”.

“(Pernyataan saksi itu) didraf oleh pegawai (tanpa) kehadiran saya,” katanya.

Shafee berkata, beliau akan bercakap dengan pihak pendakwaan mengenai permintaan pihak pembelaan untuk menggugurkan Siti Zauyah sebagai saksi.

Najib sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion didakwa dana 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Beliau dibawa ke mahkamah hari ini dari Penjara Kajang, di mana dia sedang menjalani hukuman selepas Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.