
Pengarah Urusan Pasaraya Besar Mydin itu berkata, “kekurangan besar-besaran” telur dalam pasaran tempatan adalah isu yang lebih mendesak ketika ini berbanding bekalan ayam.
Menurutnya, beliau telah menekankan mengenai kekurangan telur sejak tiga bulan lalu namun Putrajaya nampaknya tidak menangani masalah itu.
“Kita hanya mendapat 50% bekalan,” katanya. “Kekurangan bekalan telur ini perlu ditangani segera. Kerajaan sudah memberi subsidi telur ayam, jadi sama ada subsidi tidak mencukupi atau kartel mengawalnya.”
Beliau berkata, terdapat bekalan ayam yang mencukupi di Malaysia tetapi bukan lebihan bekalan seperti yang dilaporkan baru-baru ini.
Ameer bersetuju dengan larangan eksport kekal untuk tempoh sebulan dua lagi. Beliau berkata harga ayam naik dua kali sejak dua minggu lalu, malah sebanyak 30 sen sekilogram pada minggu lepas dan keadaan bekalan dan harga masih tidak stabil.
“Memandangkan kerajaan masih memberi subsidi ayam, kita tidak boleh mengeksport buat masa ini. Lebih baik kita pantau sehingga harga jualan turun kepada kira-kira RM7 sekilogram sama seperti sebelum berlakunya kekurangan.
“Kebimbangan saya ialah sekiranya kerajaan menghapuskan larangan eksport, harga akan melonjak.”
Pada Sabtu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, Putrajaya akan menunggu sebulan dua lagi sebelum menarik balik larangan mengeksport ayam bagi memastikan bekalan tempatan mencukupi dan harga menjadi stabil.
Eksport ayam dilarang mulai 1 Jun, di tengah-tengah berlakunya kekurangan bekalan ayam.
Ameer berkata, sebelum berlaku kekurangan itu, harga ayam sekitar RM6.50 hingga RM6.90 sekilogram. Selepas itu, harga siling rasmi ditetapkan pada RM8.90 dan kemudian dinaikkan kepada RM9.40.
Harga siling runcit telur ayam Gred A ditetapkan pada 45 sen setiap satu, Gred B pada 43 sen dan Gred C pada 41 sen.
Ahli ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Geoffrey Williams berkata, harga ayam masih belum stabil di dalam negara dan ia bermakna tempoh bulan yang ditunggu itu sebelum menarik balik larangan eksport adalah perkara baik.