Lelaki rosakkan Jalur Gemilang ditahan

Lelaki rosakkan Jalur Gemilang ditahan

Penahanan lelaki didakwa kurang siuman selepas polis menerima maklumat daripada pegawai DBKL.

Insiden merosakkan Jalur Gemilang adalah yang kedua selepas kejadian pertama di Jalan Ampang, minggu lalu. (Gambar Facebook DBKL)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan selepas disyaki merosakkan Jalur Gemilang yang digantung di Jalan Tun Sambanthan, semalam.

Ketua Polis Brickfields Amihizam Abdul Shukor berkata, dalam insiden pada 3 petang itu, pihaknya menerima panggilan daripada pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengatakan terdapat seorang lelaki merosakkan Jalur Gemilang.

Beliau berkata, apabila tiba di lokasi kejadian, anggota polis mendapati dua pegawai DBKL berada bersama dengan seorang lelaki tempatan yang dipercayai kurang siuman.

“Lelaki berkenaan kemudian dibawa ke Balai Polis Brickfields bagi tujuan dokumentasi sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk pemeriksaan kesihatan dan dirujuk ke wad Psikiatri,” katanya menurut Bernama.

Terdahulu, tular video di media sosial menunjukkan seorang lelaki bertindak merosakkan Jalur Gemilang yang digantung di jejantas di Jalan Syed Putra.

Ini merupakan insiden kedua Jalur Gemilang yang digantung di kawasan awam dirosakkan kerana pada Khamis, seorang lelaki ditahan selepas dirakam menggunting Jalur Gemilang yang diletakkan di Jalan Ampang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.