
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob berkata, beliau tidak bercita-cita untuk menjadi seorang menteri, dan dibalas Zahid, beliau malah “tidak layak”.
Presiden Umno itu membuat kenyataan sedemikian apabila Malik menyoalnya bagaimana Profound Radiance Sdn Bhd dilantik menguruskan sistem pemprosesan permit kerja Pusat Sehentian (OSC) untuk pekerja dari Pakistan dan Nepal.
Zahid berkata, keputusan itu dibuat bersama oleh pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada masa itu.
“Selain itu, ada arahan daripada perdana menteri ketika itu (Najib Razak),” katanya.
Malik kemudian merujuk kepada dokumen yang mempunyai tandatangan Zahid untuk menunjukkan dia memberi kelulusan.
“Walaupun saya menandatanganinya, ia bukan keputusan saya seorang,” kata bekas menteri dalam negeri itu.
Malik: Siapa yang lantik Profound Radiance untuk menguruskan sistem pemprosesan permit kerja OSC?
Zahid: Saya harap TPR ini satu hari akan jadi menteri supaya dapat lebih faham bagaimana kementerian bekerja.
Malik: Saya tiada cita-cita untuk jadi menteri.
Zahid: Mestilah, kamu tidak layak pun.
Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah kemudian mengarahkan Zahid untuk menjawab soalan Malik.
Zahid berkata, pelantikan syarikat itu dibuat berdasarkan cadangan.
Bekas timbalan perdana menteri itu dikatakan menerima RM2 juta daripada pengarah syarikat, Azlan Shah Jaffril.
Bagaimanapun, dalam pembelaannya, dia menegaskan bahawa wang itu ialah sumbangan politik, bukan rasuah.
Zahid berkata, Azlan merekodkan RM2 juta itu sebagai “sumbangan politik” dan “amal jariah” dalam cek kerana pilihan raya umum 2018 hampir tiba.
Zahid dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi serta menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa beliau menjadi menteri dalam negeri.
Dua belas daripada tuduhan tersebut adalah untuk CBT, lapan rasuah dan baki 27 lagi untuk pengubahan wang haram.
Bagi tuduhan berkaitan sistem OSC, beliau didakwa menerima RM2 juta daripada Azlan antara 3 Ogos 2017 dan 15 Mac 2018.
Perbicaraan diteruskan.