Isteri cekal naik motosikal ulang-alik 50km jaga suami terlantar sakit

Isteri cekal naik motosikal ulang-alik 50km jaga suami terlantar sakit

Nur Fazlizawati Zohari berkata, keluarganya hilang punca pendapatan apabila suaminya jatuh sakit dan tidak mampu menguruskan diri selepas menjalani pembedahan.

Mohd Nazri Khaidhir kini terlantar separuh sedar di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.
PETALING JAYA:
Luluhnya hati seorang isteri apabila suami yang sebelum ini menjadi tunjang keluarga tempatnya bergantung kini terlantar sakit akibat penyakit darah tinggi.

Nur Fazlizawati Zohari, 39, ketika dihubungi FMT berkata, Mohd Nazri Khaidhir, 39, dahulunya sihat, namun kesihatannya mula merosot sejak Mei, sebelum dia mengadu sakit, tiba-tiba muntah dan tidak sedarkan diri pada 22 Jun lalu.

Nazri dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian untuk menjalani pembedahan kerana pembuluh darah pecah. Ia disusuli pembedahan kedua seminggu kemudian.

“Pembedahan pertama nak buang darah yang dah bercampur air, lepas itu bedah kali kedua nak buang cecair dalam kepala dan tebuk leher untuk saluran pernafasan,” katanya yang menetap di Kampung Petanding, Telekong, Kuala Krai di Kelantan.

Selepas keadaan Nazri stabil, Fazlizawati meminta kebenaran doktor untuk memindahkan suaminya ke Hospital Sultan Ismail Petra di Kuala Krai, yang lebih dekat dengan rumahnya.

Disebabkan Nazri menjadi separuh sedar dan tidak mampu menguruskan diri selepas pembedahan, Fazlizawati terpaksa berulang alik dengan motosikal sejauh 50km setiap hari, dari rumah ke Hospital Sultan Ismail Petra.

Nur Fazlizawati Zohari bersama Mohd Nazri Khaidhir sebelum suaminya jatuh sakit.

“Sampai hospital saya terus uruskan suami, tukar lampin, bersihkan badan dia, bagi susu guna saluran tiub. Anak-anak ada saudara tengokkan,” ujar ibu kepada lima cahaya mata berumur tiga hingga 17 tahun itu.

Luah Fazlizawati, meskipun jiwanya tersentak melihat suami yang dulunya sihat dan gigih mencari rezeki buat keluarga kini berubah sekelip mata apabila hanya mampu terbaring menahan sakit, namun dia tetap yakin suaminya akan kembali sembuh.

“Saya tak pasti dia ingat saya atau tidak, tetapi badan dia ada gerak balas bila kita bercakap dengan dia. Saya yakin dia kuat,” ujarnya sambil berkata pembedahan itu memberi kesan kepada ingatan suaminya.

Katanya, lebih memilukan apabila anak-anak, terutama yang masih kecil mula rindu dan bertanyakan bapa mereka, selepas hampir dua bulan tidak berjumpa.

“Anak-anak dah mula bertanya abah mereka. Sejak masuk hospital, mereka belum jumpa lagi abah…saya beritahu abah sakit dekat hospital, mereka faham, tetapi yang bongsu dah mula rindu, kalau menangis dia panggil abah.”

Fazlizawati berkata, dia kini dalam proses memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, terutama dari segi alatan perubatan untuk suaminya, seperti katil, tiub, lampin dan susu.

“Kalau nak bawa balik rumah kena ada alatan, katil, tilam tiub susu. Untuk alatan itu semua dalam proses nak minta daripada JKM, tapi makan masa sikit. Jadi, selagi tak dapat, suami kena duduk hospital dulu, walaupun sepatutnya dia dah boleh balik rumah,” katanya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jika anda mahu membantu, mesej kami di Whatsapp FMT Helpline @0193899839.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.