Siasat dakwaan buruh paksa dalam industri perkayuan, kerajaan diberitahu

Siasat dakwaan buruh paksa dalam industri perkayuan, kerajaan diberitahu

Aktivis berkata, kebanyakan isu timbul daripada pengambilan pekerja asing yang tidak beretika.

Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) berkata, ia masih belum menghadapi masalah pematuhan tetapi komited untuk menangani ‘isu mendesak buruh paksa’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Aktivis menggesa Jabatan Buruh untuk menyiasat dakwaan buruh paksa dalam industri perkayuan.

Ini susulan pendedahan aktivis buruh pendatang asing, Andy Hall pada Ogos lalu bahawa dia telah menerima e-mel yang mengadu mengenai pengambilan pekerja yang tidak beretika dalam industri bernilai RM22.7 bilion itu.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Industri Perkayuan Sabah, Engrit Liaw berkata, pejabat buruh di seluruh negara harus melaksanakan pemeriksaan untuk mengesahkan dakwaan itu.

Beliau menggesa Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) supaya peka terhadap isu itu dan “mengambil perhatian serius” terhadap amalan “budaya buruh paksa” di negara ini.

“Kita tidak harus hanya menunggu aduan dan baru bertindak,” katanya.

Dalam kenyataan bertarikh 10 Ogos, MTC berkata, industri perkayuan masih belum menghadapi sebarang isu pematuhan sosial tetapi ia menambah bahawa mereka komited untuk menangani “isu mendesak buruh paksa” melalui pencegahan dan pengurusan pekerja asing yang lebih baik.

Pada seminar 8 Ogos itu, Hall bercakap tentang keperluan syarikat perkayuan untuk berhati-hati apabila mengambil pekerja asing, terutamanya dari Bangladesh.

Beliau berkata, ia telah menunjukkan bahawa mereka terpaksa mengeluarkan sejumlah besar kepada ejen untuk sampai ke Malaysia dan bayaran itu perlu diserap oleh majikan yang mengambil pekerja.

Menurutnya juga, majikan harus menghentikan amalan menyimpan pasport pekerja kerana ini menghalang kebebasan mereka bergerak.

Gesaan lain yang dibuat adalah menyediakan penginapan yang baik dan menghentikan kerja lebih masa mandatori serta potongan gaji yang “tidak perlu”.

Arulkumar Singaraveloo dari Forum HR Malaysia berkata, beliau percaya isu itu boleh ditangani sekiranya syarikat yang mengambil pekerja asing secara terus dari negara sumber tanpa bergantung kepada banyak ejen dan sub-ejen.

“Pergi secara terus dan mengehadkan kepada ejen tunggal di negara sumber akan memberi syarikat kawalan yang lebih baik ke atas proses pengambilan,” katanya.

“Mempunyai lapisan minimum dalam proses pengambilan akan membantu mengurangkan kos pengambilan keseluruhan.”

Permintaan untuk produk berasaskan kayu Malaysia, terutamanya perabot, meningkat pada awal 2020 apabila ramai orang di seluruh dunia mula bekerja dari rumah, membawa kepada peningkatan dalam pembinaan, pembaikan dan pemodelan semula rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.