
Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika kejadian, ibu bapa bayi itu sedang bekerja.
Katanya, berdasarkan keterangan awal daripada pengasuh, seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun, bayi berkenaan dalam keadaan sesak nafas kerana kain lampin dalam buaian berada di mukanya.
“Bayi berkenaan dibawa ke sebuah klinik di Pandan Indah di sini sebelum dihantar ke Hospital Ampang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
“Semasa tiba di hospital, bayi itu didapati sudah tidak bernyawa dan bantuan kecemasan diberikan tetapi dia menunjukkan tanda-tanda kematian yang sudah lama.”
Bayi itu kemudian disahkan meninggal dunia pada kira-kira 6.35 petang.
Farouk berkata, punca kematian bayi itu sedang disiasat dan pengasuh berkenaan ditahan pada 10.30 malam tadi di Hospital Ampang.
Pihak polis dijangka mendapatkan permohonan reman wanita tersebut hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, menurut Farouk.
Tambahnya, wanita itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Bedah siasat ke atas mayat bayi itu dilakukan pagi ini di Hospital Ampang.