
SN Nair berkata, beliau telah menulis kepada Ismail Sabri Yaakob pada 28 Jun dengan salinan turut diberikan kepada Peguam Negara Idrus Harun, dan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.
Satu salinan turut diberikan kepada Duta Besar Belanda ke Malaysia, Aart Jacobi.
“Kenapa diam seribu bahasa, dan tiada langsung pengiktirafan rasmi kepada surat-surat saya itu daripada mereka?” soalnya.

Surat Nair kepada perdana menteri itu susulan Ismail memberi jaminan kepada rakan sejawatannya di Belanda, Mark Rutte bahawa siasatan adil dan telus akan dibuat terhadap kematian Ivana.
Rutte pada Jun lalu menghubungi Ismail untuk membincangkan beberapa isu termasuk kes Ivana itu.
Dalam suratnya kepada Ismail, Nair telah meminta pegawai penyiasat Faizal Abdullah disingkirkan daripada pasukan petugas yang menyiasat kematian Ivana. Faizal turut menghadapi saman sivil oleh keluarga Ivana.
Nair berkata, Faizal dengan salah menyimpulkan bahawa kematian Ivana akibat sebab semulajadi atau bunuh diri, tanpa siasatan sewajarnya walaupun wujud bukti yang menunjukkan sebaliknya yang turut jelas dalam inkues dijalankan.
Dalam prosiding semakan di Mahkamah Tinggi, Hakim Collin Lawrence Sequerah pada 22 November 2019 memutuskan kematian Ivana adalah disebabkan “individu dikenali atau tidak dikenali”.
Lima hari kemudian, Pengarah Siasatan Jenayah (ketika itu) Huzir Mohamed mengumumkan penubuhan pasukan petugas dengan kes itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh.
“Sudah hampir tiga tahun dan keluarga itu masih tiada jawapan, selain tidak dapat menutup buku dalam kes ini,” katanya kepada FMT.
Ivana, 18, ditemui mati di aras enam blok kondominium di Kuala Lumpur pada 7 Disember 2017, dipercayai selepas terjatuh dari kediaman di tingkat 20 dihuni pasangan dari Amerika Syarikat, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Pasangan itu meninggalkan negara ini selepas disoal polis.