Remaja 17 tahun didakwa seludup 25 pendatang tanpa dokumen

Remaja 17 tahun didakwa seludup 25 pendatang tanpa dokumen

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Zuraidi Zulkifli berkata, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Remaja itu didakwa membawa 25 warga Myanmar dengan bayaran RM6,000 seorang dari Rantau Panjang, Kelantan ke Kuala Lumpur. (Gambar Bloomberg)
KUALA LUMPUR:
Seorang remaja 17 tahun yang ditahan menyeludup 25 pendatang asing tanpa dokumen awal bulan ini, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Lelaki itu didakwa menyeludup kumpulan warga Myanmar itu dengan bantuan seorang individu yang masih bebas pada 2 Ogos lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Selepas prosiding itu selesai, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Zuraidi Zulkifli memberitahu media, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 17 Okt untuk sebutan semula kes.

Awal bulan ini, media melaporkan remaja itu memandu sebuah MPV dari Rantau Panjang di Kelantan ke Kuala Lumpur untuk membawa kumpulan warga Myanmar itu mencari kerja.

Polis menahannya di Taman Sri Kuching, Sentul selepas mengesan Toyota Vellfire berwarna hitam yang mencurigakan.

Seramai 25 warga asing berusia 15 hingga 39 tahun itu berhimpit di tempat duduk penumpang belakang, dengan enam daripada wanita.

Polis berkata, siasatan mendapati tekong mengenakan bayaran RM6,000 untuk menyeludup setiap pendatang asing tanpa dokumen itu ke negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.