
Peguam Syarie Musa Awang, berkata Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin, yang mewakili kesemua waris, memfailkan permohonan itu berdasarkan peruntukan Perkara 49A(3) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.
“Waris-waris almarhum menamakan kerajaan negeri Terengganu sebagai responden,” katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Syariah.
Beliau berkata, kesemua waris antaranya memohon supaya Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu memutuskan bahawa setengah bahagian daripada keseluruhan tanah CZSM masih kekal sebagai harta pusaka yang belum dibuat pembahagian.
Katanya, waris turut memohon supaya tanah seluas lebih 5,463 hektar di daerah Kemaman itu, yang dibangunkan sebagai tanah rancangan Felda, digantikan dengan tanah lain melalui kaedah penggantian (istibdal).
Musa berkata, pada 2003, Tengku Ibrahim telah memfailkan tuntutan pembahagian dan perwarisan pusaka terhadap kerajaan Terengganu bagi harta pusaka almarhum Sultan Zainal Abidin III itu.
Katanya, pada 2005, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu memerintahkan supaya kerajaan negeri (defendan) mengeluarkan Surat Hak Milik setengah bahagian tanah itu atas nama Sultan Zainal Abidin III atau membayar pampasan dalam bentuk difikirkan wajar mengikut nilaian semasa tanah itu.
Beliau berkata, mahkamah sama turut memerintahkan supaya tanah pusaka itu dibahagikan kepada waris yang berhak.
“Kerajaan negeri kemudian telah membuat rayuan terhadap keputusan itu dan pada 16 Julai 2007, panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu membenarkan rayuan itu dan memutuskan keputusan sebelum ini sebagai terbatal.
“Pembatalan itu tidak bermaksud bahawa setengah bahagian tanah itu bukan harta pusaka. Keputusan Mahkamah Rayuan tidak menyentuh atau menyelesaikan perkara berkenaan,” katanya.
Musa berkata, sehingga hari ini, tiada sebarang penghakiman daripada mana-mana Mahkamah Syariah yang memutuskan bahawa setengah bahagian daripada tanah CZSM sebagai bukan harta pusaka Sultan Zainal Abidin III.
Beliau berkata, pada Ogos 2020, selepas memperoleh Surat Kuasa Wakil daripada lebih 245 waris Sultan Zainal Abidin III, Tengku Ibrahim telah melantik peguam untuk bertindak bagi pihak mereka bagi menguruskan hal berkaitan permohonan atau penyelesaian berhubung tanah terbabit.
Tengku Ibrahim pula berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri dan beberapa kali menghantar surat kepada menteri besar sejak Mei tahun lalu bagi membincangkan perkara itu, namun tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga kini.
“Sebab itulah kita terpaksa bawa perkara ini ke mahkamah hari ini,” katanya.