Tidak adil untuk jenayahkan pemilikan atau penggunaan di bawah GEG, kata badan pemikir

Tidak adil untuk jenayahkan pemilikan atau penggunaan di bawah GEG, kata badan pemikir

Fasal 17 RUU itu membuka jalan kepada tuduhan dalam pendakwaan terpilih serta menimbulkan stigma dan diskriminasi.

Fasal 17 melarang individu yang lahir pada selepas Jan 2007 menghisap atau memiliki sebarang produk tembakau, bahan bagi merokok, produk tembakau gantian atau peranti rokok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalid menggesa supaya Fasal 17 Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022 dikeluarkan kerana ia menjenayahkan pemilikan ataupun penggunaan oleh individu.

RUU tersebut adalah bertujuan melarang mereka yang lahir pada atau selepas 2007 daripada membeli atau memiliki produk rokok atau vape.

Azrul berkata, jawatankuasa pilihan khas parlimen yang ditugaskan untuk menyemak dan mencadangkan syor bagi RUU itu mesti melakukan pertimbangan bukan sahaja hanya mengenai cara meraih sokongan daripada ahli Parlimen, tetapi juga memastikan kebimbangan berhubung semak dan imbang penguatkuasaan dan implikasinya dapat diselesaikan.

Fasal 17 meletakkan satu kesalahan bagi individu yang lahir pada 1 Jan 2007 dan ke atas sekiranya mereka menghisap atau memiliki sebarang produk tembakau, bahan bagi merokok, produk tembakau gantian atau peranti rokok.

“Kesalahan ini membuka jalan kepada tuduhan dalam pendakwaan terpilih serta menimbulkan stigma dan diskriminasi selain boleh meminggirkan kumpulan yang memerlukan sokongan dan bantuan.

“Walaupun kita berusaha sebaik mungkin, pada masa hadapan akan ada orang dalam kumpulan GEG yang merokok dan vape, dan ketagih nikotin. Adakah mereka patut dihukum?

“Perundangan itu harus memastikan aktiviti menjual atau membekalkan produk tembakau atau vape kepada mereka yang dilahirkan mulai 1 Januari 2007 menjadi satu kesalahan. Ia tidak sepatutnya menjenayahkan pemilikan atau penggunaan individu,” katanya dalam kenyataan.

Azrul berkata, New Zealand mengambil pendekatan yang sama melalui undang-undang melarang penjualan tembakau dalam usaha menjadikan negara itu bebas daripada asap rokok, sambil menambah bahawa Malaysia harus mencontohi negara tersebut.

Beliau berkata, dengan mengeluarkan Fasal 17, kebimbangan mengenai penguatkuasaan di bawah Bahagian IX dan implikasinya terhadap perokok dan penghisap vape seperti penggeledahan tanpa waran, rampasan harta, dan akses kepada maklumat peribadi boleh ditumpukan kepada peruncit, syarikat dan korporat yang menjual, membekal dan mengeluarkan produk tembakau dan vape.

Tambahnya lagi, objektif generasi penamat rokok (GEG) boleh direalisasikan dengan meletakkan tanggungjawab ke atas peruncit, syarikat dan korporat untuk mematuhi larangan penjualan atau pembekalan produk tersebut kepada golongan tersebut.

Mendapati wujudnya 60% daripada lebih 69,000 banduan penjara di Malaysia adalah pesalah dadah bawah umur yang telah disabitkan kesalahan kerana menggunakan dan memiliki bahan narkotik seperti ganja, Azrul berkata, Fasal 17 berkemungkinan membuka mudarat besar dengan mengulangi kesilapan yang sama walaupun tanpa hukuman penjara.

“Kita mesti menghalang kemungkinan undang-undang ini daripada membawa kesan yang tidak setara kepada golongan muda, golongan berpendapatan rendah mahupun populasi rentan.

“Seseorang yang ketagih nikotin, sama ada perokok ataupun penghidap vape, berhak untuk dilayan sama rata di bawah undang-undang dengan belas kasihan dan maruah.” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.