
Pengarah Publisiti Befrienders Kuala Lumpur Ardy Ayadali dan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia Andrew Mohanraj berkata pihak berkuasa dilihat terlalu mengambil mudah mengenai isu buli siber.
Mereka mengulas kematian seorang ibu kepada tiga anak berusia 44 tahun baru-baru ini, yang dipercayai menjadi sasaran komen kebencian di akaun TikTok miliknya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Khalid Othman berkata, wanita terbabit meninggal dunia ketika dikejarkan ke hospital dari rumahnya di USJ dan mangsa mempunyai sejarah kemurungan.
Menurut Ardy, tiada undang-undang khusus di negara ini untuk menangani masalah buli siber biarpun telah banyak diperkatakan sejak bertahun-tahun.
Katanya, ia terus menjadi cabaran besar untuk membasmi buli siber, memandangkan terdapat banyak bentuk interaksi sosial secara dalam talian. Bagaimanapun, pendidikan dan kesedaran dapat membantu menghalang berlakunya kes itu.
“Kerajaan harus berusaha lebih keras dalam memerangi buli siber memandangkan Malaysia perlahan-lahan mendaki kedudukan sebagai salah satu negara teratas dalam hal buli siber,” katanya.
Menurutnya, platform dalam talian boleh menjadi “sangat toksik” dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil serius terhadap apa yang dipaparkan di media sosial.
Katanya, mangsa yang mengalami tekanan emosi dan mental perlu mendapatkan bantuan.
Manakala Mohanraj pula berkata, buli siber boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan mental dan pihak berkuasa digesa mengambil pendirian serius terhadap perkara itu.
Katanya, terdapat kaitan yang kuat antara penggunaan media sosial secara berlebihan dengan risiko kemurungan, kebimbangan, kesunyian, mencederakan diri sendiri dan pemikiran untuk membunuh diri.
Beliau menasihatkan mangsa untuk mengabaikan komen negatif, menyekat pembuli daripada akaun media sosial mereka dan merekodkan komen yang menyinggung serta melaporkannya kepada pihak berkuasa.
“Jangan menderita dalam diam. Dapatkan sokongan rakan dan keluarga. Jangan biarkan pembuli siber yang bersembunyi di sebalik skrin komputer, meragut harga diri anda kerana tindakan mereka yang merosakkan itu sering menggambarkan masalah mereka sendiri dan tindakan seorang pengecut,” katanya.
Befrienders Kuala Lumpur menasihatkan mereka yang tertekan atau mengalami masalah emosi supaya mendapatkan bantuan di talian 03-7627 2929.