Ibu mengaku tak salah abai 3 anak

Ibu mengaku tak salah abai 3 anak

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Gadong Perdana, Ayer Keroh, Melaka pada 25 Mei hingga 23 Sept 2021.

Tertuduh yang juga pembantu am sekolah, Masanizah Roslan, 40, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka.
PETALING JAYA:
Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, atas dua dakwaan mengabaikan tiga anak kandungnya sehingga berisiko mendatangkan kecederaan, dalam kejadian tahun lalu.

Harian Metro melaporkan, tertuduh yang juga pembantu am sekolah, Masanizah Roslan, 40, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya di depan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan cuai meninggalkan tiga anaknya berusia 11 tahun, 8 tahun dan 6 tahun tanpa jagaan yang mungkin akan menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Gadong Perdana pada 25 Mei hingga 23 Sept 2021.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh berdepan dakwaan melakukan kesalahan serupa terhadap ketiga-tiga anak kandungnya itu di tempat sama sama pada 16 Jun sehingga 18 Jun 2021.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau dengan kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang sedang hamil dan tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana mengalami alahan selain bergaji kecil.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 12 Sept untuk kes disebut semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam bela.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.