Laporan SPRM cetus siasatan terhadap menteri, penjawat awam, kata saksi

Laporan SPRM cetus siasatan terhadap menteri, penjawat awam, kata saksi

Pegawai penyiasat SPRM V Mahendran berkata, beliau diarahkan untuk menyiasat rasuah yang didakwa dibayar oleh UKSB berkait sistem visa asing.

Ahmad Zahid Hamidi didakwa menerima rasuah berjuta-juta berkait VLN ketika menjadi menteri dalam negeri.
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan rasuah Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendengar bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan rasuah dibayar kepada menteri dan penjawat awam kanan.

Pegawai penyiasat V Mahendran berkata, beliau diarahkan pada 27 Sept 2018 oleh timbalan pengarah siasatan SPRM ketika itu untuk menyiasat perkara itu susulan laporan oleh seorang lagi pegawai SPRM, S Vijaya Kumar.

“Ini berhubung rasuah yang dibayar oleh Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) kepada menteri dan penjawat awam di Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung pemprosesan dan pengeluaran visa untuk pelancong China,” katanya dalam pernyataan saksinya.

“Matlamat utama siasatan ini adalah untuk mendapatkan dokumen berhubung kontrak memproses dan mengeluarkan visa kepada pelancong China dari 2010 dan 2018 dan juga untuk mengenal pasti saksi yang terbabit.”

Beliau berkata, siasatan diklasifikasikan bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM kerana menjadi kesalahan bagi penjawat awam untuk menerima rasuah.

Mahendran, saksi pendakwaan ke-18 dan yang terakhir, berkata SPRM turut mengambil keterangan daripada beberapa pegawai kanan KDN.

Zahid berdepan 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB sebagai menteri dalam negeri ketika itu untuk menyambung kontrak firma tersebut sebagai pengendali pusat sehenti di China dan sistem visa asing (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak pembekalan sistem bersepadu VLN.

Presiden Umno dan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya sendiri SGD1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss franc dan USD15,000 daripada syarikat yang sama berhubung tugas rasminya.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan hakim Yazid Mustafa diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.