Kerjasama dengan DAP selepas PRU15, Loke akui kekuatan Umno, kata Ahmad Maslan

Kerjasama dengan DAP selepas PRU15, Loke akui kekuatan Umno, kata Ahmad Maslan

Setiausaha Agung Umno itu berkata kenyataan DAP membuktikan akhirnya parti itu mengakui Umno parti yang mempunyai akar umbi paling kuat.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata kenyataan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, memberi bayangan kesediaan bekerjasama dengan Umno selepas pilihan raya umum menunjukkan parti seteru itu menghormati kekuatan Umno.
PETALING JAYA:
Kenyataan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook yang tidak menolak kemungkinan partinya menjalin kerjasama dengan Umno atas premis “segalanya mungkin dalam politik dilihat sebagai “pengiktirafan” mereka kepada kekuatan Umno.

Dalam wawancara disiarkan Facebook ‘Umno Online’, malam ini, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengambil sikap neutral untuk tidak menolak atau mengiyakan kerjasama boleh dibentuk bersama DAP selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Berbanding nada sebelum ini apabila menyentuh berhubung DAP, Ahmad tidak menyerang parti seteru utama itu, malah seperti “menghargai” kenyataan Loke.

“Baru mereka (DAP) sedar Umno ini parti akar umbi yang paling kuat dalam negara ini. Malu atau tidak, hendak atau tidak, berani atau tidak…mereka terpaksa mengakui perkara itu.

“(Ada) 22,000 cawangan menjadikan struktur Umno cukup kukuh dan apabila kukuh ini dia tidak tercabut dia tidak tumbang akibat tsunami apa pun,” katanya dalam wawancara itu.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, berkata beliau tidak melihat akan berulangnya tsunami sebesar seperti PRU14.

“Oleh kerana itu, mereka (DAP) hendak tidak hendak mereka mengakui kekuatan Umno,” katanya.

Pada 7 Ogos, FMT melaporkan Loke memberi “bayangan” sebarang kerjasama dengan Umno hanya akan berlaku selepas PRU15 memandangkan politik Malaysia mengalami perubahan drastik sejak PRU 2018, terutamanya dengan ketiadaan parti dominan tunggal.

Katanya, kemungkinan kerjasama antara parti berbeza menjadi lebih tinggi.

“Saya tak tolak (sebarang kemungkinan) kerana apa yang penting adalah kita (semua pihak) mesti berasaskan agenda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.