Hadir program Rafizi, PKR akan nasihat Ahli Parlimen

Hadir program Rafizi, PKR akan nasihat Ahli Parlimen

Setiausaha Agung Fuziah Salleh berkata beberapa Ahli Parlimen itu seharusnya bawa visi parti dan bukannya promosi parti lain.

Fuziah Salleh
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh, berkata Ahli Parlimen parti yang hadir program Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Ahmad akan diberi nasihat supaya berpegang kepada perkara ditetapkan parti.
PETALING JAYA:
PKR akan melakukan perundingan dan nasihat kepada beberapa Ahli Parlimen mewakili parti itu susulan kehadiran mereka pada majlis pengumuman hala tuju politik bekas timbalan presiden, Rafizi Ramli, pada 17 Mei.

Setiausaha Agung Fuziah Salleh, berkata mereka seharusnya membawa visi perjuangan parti dan berkhidmat di kawasan diwakili bukannya pada masa sama mempromosikan parti lain.

“Kita sudah arahkan beberapa pemimpin untuk berunding, berhubung, dan menasihati mereka bahawa apabila mereka pegang jawatan sebagai Ahli Parlimen, mereka mewakili parti.

“Ini nasihat kepimpinan kepada mereka, setakat ini kita hormat mereka sebagai Ahli Parlimen dan harus berpegang kepada apa yang ditetapkan parti,” katanya menurut Berita Harian, di Kuantan.

Antara Ahli Parlimen PKR yang hadir pada majlis tersebut ialah Wong Chen (Subang), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).

Baru-baru ini, PKR dilaporkan akan membincangkan tindakan terhadap beberapa Ahli Parlimennya yang hadir pada program politik Rafizi dan bekas naib presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Selain mengumumkan pengambilalihan Parti Bersama Malaysia (Bersama), Rafizi dan Nik Nazmi turut mengumumkan keluar PKR dan mengosongkan kawasan Parlimen masing-masing di Pandan dan Setiawangsa.

Rafizi pada sidang media seusai majlis itu menyuarakan keyakinan Bersama mampu menarik keahlian wakil rakyat lain termasuk daripada Pakatan Harapan (PH).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.