Jamal Yunos bebas tuduhan muat naik video kenyataan jelik di Facebook

Jamal Yunos bebas tuduhan muat naik video kenyataan jelik di Facebook

Hakim memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Jamal di akhir kes pendakwaan.

Jamal Yunos sebelum ini dituduh dengan sengaja memuat naik dua video dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen Ampang melepas dan membebaskan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos daripada dua pertuduhan memuat naik video dengan kenyataan jelik di laman Facebook, dua tahun lepas.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Jamal di akhir kes pendakwaan.

Jamal, 52, dituduh dengan sengaja memuat naik dua video dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, yang telah dilihat pada tengah hari, 20 Ogos 2020, di Taman Dagang Avenue, Ampang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan melalui laman Facebook menggunakan profil Datuk Sri Jamal Yunos masing-masing pada 10 pagi dan 3 petang, 19 Ogos 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta yang sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aiza Ali Raman manakala peguam Mohd Hafizuddin Khan Norkhan mewakili Jamal.

Pihak pendakwaan menutup kesnya pada Julai lepas selepas mengemukakan tiga saksi sepanjang perbicaraan yang bermula Mei tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.