
Beliau berkata pendirian Sarawak adalah mengekalkan undang-undang sedia ada sambil menghormati proses perundangan, walaupun perbincangan komersial antara syarikat minyak milik negeri itu, Petros dan Petronas diteruskan, lapor The Borneo Post.
“Kita mahukan kejelasan, dan semua pihak perlu menunggu sehingga kita dapat mencapai penyelesaian. Pada masa yang sama, kita akan mematuhi keputusan mahkamah,” kata Ibrahim, yang merupakan timbalan menteri utiliti dan telekomunikasi Sabah.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 16 Mac untuk keputusan permohonan Petronas bagi mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai bagi operasi petroleum di Sarawak.
Ibrahim berkata prosiding mahkamah adalah perkara berasingan daripada rundingan komersial yang sedang berlangsung antara kedua-dua syarikat minyak itu.
Beliau berkata perbincangan mengenai perkara berkaitan minyak dan gas di bawah Perjanjian Malaysia 1963 menunjukkan perkembangan positif.
Petros dan Petronas sedang berusaha ke arah penyelesaian komersial, dengan rundingan melibatkan kerajaan Sarawak yang diketuai oleh Premier Abang Johari Openg dan kerajaan persekutuan di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Kedua-dua pihak berusaha mencapai penyelesaian yang boleh dipersetujui bersama. Terdapat perkembangan positif, dan kami berharap dapat mencapai penyelesaian komersial,” katanya.