
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh, berkata semakan pihaknya mendapati program berkenaan dijalankan atas inisiatif pihak sekolah untuk aktiviti pelajar mereka.
Katanya, selaku bertanggungjawab terhadap portfolio pendidikan, beliau menghargai sikap proaktif guru dalam menyemarakkan bulan kemerdekaan serta meningkatkan bakat pelajar.
“Saya ingin memaklumkan bahawa pihak kerajaan negeri Johor tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak untuk menjalankan pertandingan ini.
“Namun, penggunaan istilah “negarawan” Johor seperti yang terdapat dalam poster yang ditularkan adalah amat tidak sesuai untuk dirujuk kepada barisan kepimpinan kerajaan Johor yang masih berkhidmat,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Norliza berkata, “kesilapan” itu telah memberikan imej buruk kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri Johor khususnya.
“Saya berharap supaya isu ini tidak dipanjangkan dan menjadi bahan politik hingga menjejaskan pihak guru serta sekolah yang terlibat,” katanya.
Menurut Utusan Malaysia, poster pertandingan itu dianjurkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fatimah Hashim, Pasir Gudang dengan memaparkan wajah menteri besar Johor dan empat Exco kerajaan negeri, termasuk Norliza sebagai negarawan Johor.
Poster itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk bekas Timbalan Ketua PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse, yang secara sinis mempersoalkan mengapa ‘watak-watak’ politik perlu dilukis di sekolah.
“Wahai murid-murid Johor, watak politik pun kena lukis di sekolah. Oh silap, #negarawan… Jangan main-main, hadiah menang boleh jumpa Exco idola,” katanya.
Wee Tse turut berharap pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang dapat menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan yang sewajarnya.