11 Memorial Negarawan ‘hadiah’ untuk rakyat

11 Memorial Negarawan ‘hadiah’ untuk rakyat

Arkib Negara mengurus 11 Memorial Negarawan dengan mengekalkan keaslian barangan peribadi mereka untuk tatapan orang ramai.

Pejabat yang digunakan empat perdana menteri di Jalan Dato’ Onn sebelum berpindah ke Putrajaya.
KUALA LUMPUR:
Tahukah anda set pejabat asli iaitu tempat di mana empat perdana menteri menjalankan pentadbiran negara masih utuh dan boleh dilihat secara dekat malah percuma untuk dikunjungi.

Pengarah Bahagian Arkib Negarawan, Hanizah Junoh, berkata bukan sahaja set pejabat tetapi barangan peribadi seperti baju, kasut dan buku milik perdana menteri serta tokoh kemerdekaan, masih elok dipamer di Kompleks Arkib Perdana Menteri dan Arkib Negarawan (Kapman), Jalan Dato Onn.

Hanizah Junoh
Hanizah Junoh.

“Kita kumpulkan objek warisan barangan milik peribadi tokoh-tokoh, kemudian kita persembahkan dalam bentuk pameran. Semua adalah asli.

“Kita kekalkan bangunan asal, pejabat lama dan juga bilik mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya kepada FMT.

Arkib Negara Malaysia menguruskan 11 memorial iaitu Memorial Tunku Abdul Rahman, Memorial Hussein Onn, Galeria Sri Perdana (Dr Mahathir Mohamad), Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad (Kedah) dan Memorial Abdul Razak.

Selain itu, Pustaka Peringatan P Ramlee, Rumah Kelahiran P Ramlee (Pulau Pinang), Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan (Melaka), Memorial Ghafar Baba (Melaka) dan Rumah Merdeka (Kedah) serta Memorial Negarawan yang mempamerkan tujuh tokoh kemerdekaan.

7 tokoh
Tujuh tokoh yang membantu Tunku Abdul Rahman mencapai kemerdekaan.

Hanizah berkata, Memorial Negarawan ditubuhkan untuk mengenang jasa tujuh tokoh yang membantu Rahman mencapai kemerdekaan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia pada 1963.

“Mereka adalah Dr Ismail Abdul Rahman, Tan Cheng Lock, VT Sambanthan, Dr Lim Chong Eu, Datu Mustapha, Fuad Stephens dan Temenggung Jugah,” katanya.

Pejabat asal Tunku Abdul Rahman
Pejabat asal Tunku Abdul Rahman ketika menjawat jawatan perdana menteri pertama.

Seiring peredaran zaman, Arkib Negara bawah teraju Kementerian Perpaduan Negara pimpinan Aaron Ago Dagang melancarkan platform Eksplorasi Negarawan atau e-Negarawan bagi membolehkan lawatan secara maya melalui ‘klik di jari’ di semua 11 memorial yang merupakan sebahagian usaha bagi menarik minat golongan muda terhadap sejarah dan khazanah warisan negara.

Ia bertepatan dengan strategi pemboleh daya Malaysia Madani iaitu memastikan impaknya dapat dirasai rakyat secara langsung melalui ‘mendigitalkan perkhidmatan rakyat’ yang turut menggalakkan penggunaan teknologi dan internet secara positif.

Cermin mata milik Tunku Abdul Rahman
Cermin mata milik Tunku Abdul Rahman masih utuh dalam jagaan Arkib Negara.

“Sambutan sangat menggalakkan, mencecah ribuan pengunjung sebulan. Jadi, di mana sahaja berada kita boleh melawat 11 memorial ini, hanya guna telefon bimbit anda,” kata Hanizah.

Arkib Negara juga mengalu-alukan lawatan sambil belajar daripada sekolah, kolej dan universiti bila-bila masa. Ini adalah komitmen kerajaan dalam mendidik anak muda berkaitan jasa dan sumbangan negarawan kepada pembinaan negara bangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.