
Beliau memegang portfolio pembangunan usahawan, koperasi dan hal ehwal pengguna, menegaskan jawatan disandang hasil pelawaan ketua menteri atas semangat memperkukuh kerajaan perpaduan.
“Dalam mana-mana kerajaan negeri, sekiranya seseorang exco itu tidak lagi mendapat kepercayaan ketua menteri, menteri besar atau parti sendiri, jawatan tersebut akan digugurkan secara automatik.
“Jadi, selagi tiada permintaan daripada pucuk pimpinan parti dan ketua menteri, isu ini tidak timbul walaupun ada pihak cuba membangkitkan sentimen politik,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau mengulas tindakan yang akan diambil susulan pengumuman Dr Akmal Saleh yang melepaskan jawatan exco kemajuan desa, pertanian dan keterjaminan makanan, berkuat kuasa minggu depan.
Akmal pada Perhimpunan Agung Umno bagi sayap Pemuda, mengumumkan peletakan jawatan dalam kerajaan Melaka selain berikrar akan ‘lawan DAP habis-habisan’.
Dalam pada itu, Allex berkata, fokus utamanya kini adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat serta memastikan kestabilan kerajaan perpaduan Melaka.
“Apa yang penting ialah kita menumpukan kerja untuk masyarakat, mengurangkan sentimen politik, dan terus memperkukuh perpaduan supaya kerajaan ini kekal stabil,” katanya.