58 rumah di Tanjung Bidara rosak dibadai ribut

58 rumah di Tanjung Bidara rosak dibadai ribut

10 buah inap desa serta sebuah masjid turut rosak namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Bumbung sebuah masjid rosak teruk selepas diterbangkan ribut di Kampung Pasir Gembor, Tanjung Bidara, Melaka. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kira-kira 58 buah rumah rosak selepas ribu melanda Kampung Pasir Gembor, Tanjung Bidara, Melaka pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9.40 pagi, 10 buah inap desa serta sebuah masjid turut rosak namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pengusaha inap desa, Roslan Misbah, 54, berkata dia hanya mengetahui kejadian itu setelah diberitahu anak lelakinya yang kebetulan berada di lokasi.

“Anak saya (Samsul Adli) kebetulan berada di inap desa dan memberitahu kawasan rumah dilanda ribut, malah sempat rakam kejadian itu. Tak sangka pukulan angin ribut kali ini sangat kuat hingga terbangkan bumbung inap desa kami,” katanya menurut Bernama.

Kejadian ribut mengakibatkan dia terpaksa membatalkan semua tempahan bagi membolehkan kerja-kerja membaiki dilakukan segera.

Keadaan bumbung sebuah rumah selepas ribut. (Gambar Facebook)

Katanya. antara kerosakan yang dialami ialah bumbung, tilam dan perabot serta kelengkapan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh dan pemanas air yang dianggarkan hampir RM8,000.

“Apa pun, saya reda sebab terpaksa batalkan tempahan bagi tempoh dua bulan ini. Kalau ikutkan tempahan, semuanya sudah penuh hingga hujung tahun,” katanya.

Seorang penduduk, Nurul Aini Mazlan, 36, berkata kejadian ribut kali ini benar-benar menakutkannya sejak lapan tahun dia menetap di kampung tersebut.

“Elok saja suami parkir kereta di garaj tepi rumah, angin ribut melanda. Habis tercabut semua atap genting, bumbung rumah….memang takut sebab beberapa ketika sebelum kejadian, saya pandang laut, memang kelihatan putih,” katanya.

Mengakui sedih dan luluh melihat kerosakan yang dialami serta terpaksa menanggung kerugian hampir RM15,000 Nurul Aini bagimanapun reda dengan ujian tersebut.

“Benda tak boleh dijangka dan inilah antara risiko tinggal di tepi pantai. Bagaimanapun, saya terima dengan hati terbuka walaupun sedih dan dalam masa yang sama masih takut dengan apa yang menimpa,” katanya.

Dalam pada itu, penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Mohd Azizan Daud berkata pihak Japerun telah menghulurkan bantuan awal manakala pejabat daerah sedang melakukan siasatan bagi menilai kerosakan yang dialami penduduk terjejas.

“Setakat ini empat keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kompleks Falak Al-Khawarizmi setelah rumahnya rosak teruk.

“Kami akan memberi bayaran sagu hati menerusi Tabung Bencana Negeri dan juga dari Majlis Agama Islam Melaka sebagai bantuan segera,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.