Curi peralatan di tapak projek ECRL, 4 anggota ‘Geng Mamat’ diberkas

Curi peralatan di tapak projek ECRL, 4 anggota ‘Geng Mamat’ diberkas

Suspek ditahan termasuk seorang wanita yang disyaki mencuri peralatan pembinaan bernilai RM30,000 di enam tapak projek ECRL.

Ketua Polis Maran Norzamri Abd Rahman (dua, kanan) menunjukkan barangan yang dirampas daripada anggota sindiket ‘Geng Mamat’ pada sidang media di IPD Maran hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Empat anggota “Geng Mamat” yang dipercayai aktif dalam kes kecurian peralatan pembinaan di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Maran, Pahang diberkas Jumaat lalu.

Mereka ditahan termasuk seorang wanita kerana disyaki mencuri peralatan pembinaan bernilai RM30,000 di enam tapak projek ECRL selepas polis melancarkan operasi khas.

Ketua Polis Maran, Norzamri Abd Rahman, berkata suspek ditahan dalam tiga serbuan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran.

“Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki dan wanita berusia 21 dan 25 tahun di sebuah rumah di Kampung Sungai Ling. Serbuan berikutanya pada 5.30 petang dan menahan seorang lelaki berusia 32 tahun bekerja sebagai buruh ladang di Kampung Paya Pasir.

“Seorang lagi ditahan ialah remaja berusia 19 tahun, bekerja sebagai pemandu lori. Dia ditahan di Jalan Kampung Pertanian, Pekan Tajau, pada 11.30 malam,” katanya menurut Sinar Harian.

Penahanan itu membolehkan polis merampas peralatan digunakan untuk mencuri serta sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback.

“Polis turut merampas selaras senapang angin dan sepasang gari disyaki digunakan sindiket itu untuk aktiviti penyamaran atau peras ugut pekerja asing.

“Hasil ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine. Suspek pertama dan ketiga mempunyai rekod dadah. Kita percaya ada dua lagi suspek masih bebas dan polis sedang giat memburu mereka,” katanya.

Norzamri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 89 Akta Polis 1967 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Semua suspek direman empat hari bermula Sabtu lalu hingga hari ini sebelum disambung reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.