
Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa berusia 51 tahun berasal dari Sarawak dikatakan dalam pendakian menuju ke perhentian Panarlaban.
Difahamkan juga, setibanya di lokasi kejadian, mangsa memberitahu mahu berehat kepada malim gunung sebelum tiba-tiba rebah.
Malim gunung terbabit kemudian melaporkan kejadian itu kepada kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) sebelum menghubungi bomba.
Jurucakap bomba Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 1.23 tengah hari.
Katanya, tindakan awal dibuat pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR), kakitangan TTS dan malim gunung dengan memberi bantuan pernafasan (CPR).
“Mangsa seterusnya dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung Robertson Stretcher.
“Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada jam 4.30 petang tadi,” katanya.