LCS: SPRM umum siasatan selepas rujuk Jabatan Peguam Negara, pihak berkaitan

LCS: SPRM umum siasatan selepas rujuk Jabatan Peguam Negara, pihak berkaitan

Ketua pesuruhjayanya, Azam Baki, berkata beliau tidak dapat memberi kenyataan ketika ini berhubung siasatan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) kerana sensitiviti dan kerahsiaan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, berkata beliau perlu menjaga sensitiviti hal penyiasatan dan kerahsiaan kes kerana membabitkan Jabatan Peguam Negara dan ‘sebagainya’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu merujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan beberapa pihak berkaitan sebelum mendedahkan siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion.

Ketua pesuruhjayanya, Azam Baki, berkata ketika ini, pihaknya enggan memberi apa-apa kenyataan mengenai isu terbabit.

“Buat masa ini, pihak saya masih lagi ‘reserve’ (tidak mahu) untuk memberi apa-apa kenyataan. Saya akan maklum kemudian apabila bersedia membuat pengumuman.

“Saya sudah pernah memberi kenyataan sebelum ini (mengenai siasatan). Saya kena menjaga sensitiviti hal penyiasatan dan kerahsiaan kes ini kerana ia bukan sahaja membabitkan SPRM tapi juga Jabatan Peguam Negara dan sebagainya. Sebab itu, saya kena pastikan perkara ini diambil kira dahulu,” katanya menurut Berita Harian.

Azam ketika mengulas lanjut, berkata siasatan terhadap perolehan LCS sudah bermula sejak beberapa tahun lalu dan sudah berada di peringkat akhir.

“Ada pihak seolah-olah menggambarkan yang siasatan masih dijalankan dan menggesa SPRM untuk menyiasat. Sudah banyak kali saya katakan, kita sedang menyiasat dan peringkat akhir penyiasatan, jadi peringkat ini saya tak mahu komen dulu,” katanya.

Terdahulu, pelbagai pihak mendesak SPRM supaya menyelesaikan segera siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur LCS susulan laporan PAC yang dibentangkan pada Khamis lalu.

Antara yang mendesak adalah Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam laporan yang dibentangkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan kapal berkenaan, antaranya kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima, setakat ini.

Memetik kenyataan Pengerusi PAC Wong Kah Woh, melalui prosiding dijalankan, projek LCS 1 disahkan siap tidak sampai 44% dan upacara penamaan serta pelancarannya seperti dinyatakan saksi hanya memberi persepsi kepada umum bahawa kapal itu sudah siap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.