
Tertuduh, Muhammad Syazwan Mohd Nasir, 26, dari Durian Tunggal, Alor Gajah membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada bekas teman wanitanya berusia 23 tahun menggunakan pisau di lorong rumah pangsa Pengkalan Rama, Melaka Tengah, 6.20 petang, 29 Julai lalu.
Tertuduh yang bekerja sendiri didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, lapor Harian Metro.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa mencederakan rakan perempuan bekas kekasihnya berusia 25 tahun pada tarikh, masa, tempat dan menggunakan senjata sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin menawarkan ikat jamin RM15,000, namun tertuduh yang ditangkap pada 30 Julai lalu merayu jumlah itu dikurangkan.
Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh dikenakan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki menikam bekas kekasihnya selepas mangsa menolak pelawaannya untuk keluar bersama.