Beri pekerja pilihan kadar caruman syer KWSP hingga akhir tahun, MTUC beritahu kerajaan

Beri pekerja pilihan kadar caruman syer KWSP hingga akhir tahun, MTUC beritahu kerajaan

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia berkata KWSP wajar memberi ‘cooling period’ kepada pencarum memandangkan pekerja ketika ini sudah terbeban dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman dan kos hidup semasa yang mencabar.

Kemudahan kelonggaran itu boleh diberikan kepada pencarum yang benar-benar terkesan melalui permohonan mudah secara dalam talian, kata Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Effendy Ghani.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan mempertimbangkan kelonggaran kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menangguhkan sementara caruman syer pekerja yang kembali semula pada kadar asal 11% bermula Julai.

Presidennya, Effendy Ghani berkata KWSP wajar memberi “cooling period” sehingga hujung tahun memandangkan pekerja ketika ini sudah terbeban dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan kos hidup semasa yang mencabar.

“Lebihan tunai yang ada mereka boleh imbangi kos hidup semasa. Bila kita tengok tujuan turun kepada 9% (semasa pandemik) adalah kerana ingin memberi lebihan tunai agar rakyat berbelanja.

“Bagi mengimbangi kenaikan semasa contohnya OPR naik, mungkin kerajaan boleh bagi ‘cooling period’ untuk mereka buat penyusunan atau imbangan semula kedudukan kewangan pencarum supaya mereka bersedia,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kemudahan kelonggaran itu boleh diberikan kepada pencarum yang benar-benar terkesan melalui permohonan mudah secara dalam talian.

“Beri kelonggaran hingga hujung tahun atau satu tempoh yang dirasakan sesuai oleh pencarum yang memohon,” katanya.

Bermula Julai, caruman syer pekerja dalam KWSP dinaikkan kepada kadar asal iaitu 11% berbanding 9% sebelum ini.

Sebelum ini, KWSP mengumumkan kadar caruman itu dikurangkan bagi Januari 2021 hingga Disember 2021, dan kemudian menerusi Bajet 2022 kerajaan mengumumkan tempoh pengurangan kadar caruman KWSP dilanjutkan sehingga Jun tahun ini bagi membantu pencarum mengharungi kenaikan kos hidup. Bagaimanapun, terdapat rungutan orang ramai yang mahukannya kekal pada kadar 9% memandangkan isu inflasi masih menghambat pengguna.

Namun, ahli ekonomi memberi reaksi berbeza apabila berpendapat caruman berkenaan tidak wajar diturunkan lagi memandangkan kos perubatan semakin meningkat selari dengan usia pencarum.

Rusmawati Said dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, sekiranya pekerja tidak mampu menabung ketika ini, ia akan membawa kepada keadaan yang lebih meruncing pada hari tua kerana tempoh itu berkait rapat dengan isu kesihatan.

Effendy bagaimanapun kurang bersetuju dengan pendapat pakar ekonomi itu dengan menegaskan pada kebiasaannya pekerja sektor swasta akan menikmati kenaikan tahunan pada awal tahun, dan jumlah itu dapat menampung kembali perbezaan caruman sebelum ini.

“Kebiasaannya pekerja sektor swasta pada awal tahun mereka akan ada kenaikan tahunan… jadi jika penangguhan hingga Disember, mulai Januari 2023 caruman balik kepada asal dan (kewangan) pekerja juga sudah stabil kerana mendapat gaji baru mereka.

“Secara tidak langsung, ia boleh imbangi potongan 11% dengan gaji kenaikan tahunan ini,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.