
“Mereka juga perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Laporan itu juga perlu dibentangkan semula kepada kerajaan negeri yang seterusnya akan dibawa kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk mendapatkan kelulusan muktamad,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pihaknya telah memberi penjelasan terperinci berhubung cadangan pelaksanaan projek PJD Link kepada wakil penduduk dan berjanji akan memastikan pihak syarikat pencadang melaksanakan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Trafik (TIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA).
“Pihak syarikat juga perlu mengadakan sesi libat urus bersama wakil penduduk dan pihak berkepentingan di jajaran terlibat,” katanya.
Bulan lalu, Fadillah dilaporkan, berkata tiga projek lebuhraya baharu di Lembah Klang mendapat kelulusan berprinsip iaitu PJD Link, Putrajaya-Bangi Expressway (PBE) dan Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway (KL-NODE).
Katanya, projek berkenaan bertujuan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang dihadapi penduduk ibu kota.
Difahamkan, PJD Link sepanjang 34.3km itu adalah lebuhraya bertingkat setinggi 23 meter dan mempunyai dua plaza tol.
Pada 2 Jul, bantahan aman disertai kira-kira 100 penduduk di sekitar Petaling Jaya menolak pembinaan PJD Link tersebut.
Bantahan secara aman dianjurkan Pasukan Pemegang Taruh Merangkap Penduduk Menentang PJD Link (SCRAP) dan disertai lebih 20 wakil persatuan penduduk serta penduduk setempat.