
Dalam satu kenyataan, pengawal selia internet negara itu berkata inisiatif itu merupakan antara langkah yang akan dilaksanakan sejajar dengan usaha Selangor memperkasa agenda ‘bandar pintar’.
Antara inisiatif lain termasuk peluasan rangkaian gentian optik serta pemasangan ‘tiang pintar’ bagi memastikan liputan yang lebih baik, pengurusan trafik yang lebih cekap dan mitigasi banjir yang berkesan.
“Bagi menyokong pelaksanaan inisiatif ini, peruntukan akan ditingkatkan kepada RM450 juta berbanding peruntukan awal RM350 juta, seperti yang dimohon oleh kerajaan negeri Selangor,” kata SKMM.
Menurut SKMM, pelaksanaan inisiatif berkenaan akan dipantau oleh Selangor Integrated & Intelligent Operations Centre (SIIOC).
Terdahulu, satu memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai antara kerajaan negeri Selangor dan SKMM.
Kerajaan negeri Selangor diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin manakala SKMM diwakili oleh Pengerusinya Salim Fateh Din.
Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
SKMM berkata kerjasama antara suruhanjaya itu dan kerajaan negeri mencerminkan komitmen Putrajaya untuk memastikan teknologi terkini seperti 5G dan kecerdasan buatan (AI) dapat dimanfaatkan oleh rakyat.
“Inisiatif bandar pintar Selangor bukan sekadar menumpukan pembangunan infrastruktur, sebaliknya turut memperkasa komuniti melalui perkhidmatan digital yang cekap, inklusif dan selamat.”
Bandar pintar ditakrifkan sebagai pembangunan bandar yang memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta Internet Kebendaan (IoT) bagi mengurus sesebuah bandar dengan lebih berkesan.