Selangor mungkin bubar DUN jika PRU15 sebelum November, kata MB

Selangor mungkin bubar DUN jika PRU15 sebelum November, kata MB

Amirudin Shari berkata jika Parlimen tidak dibubar dalam tempoh itu sidang DUN akan bersambung untuk pembentangan belanjawan negeri.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari tidak menolak kemungkinan membubarkan DUN serentak andai pilihan raya umum ke-15 diadakan sebelum November. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari tidak menolak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak jika kerajaan persekutuan mengumumkan pembubaran Parlimen sebelum November bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Saya percaya ramai mengatakan bahawa kita berdepan kemungkinan terbubarnya DUN sebelum sidang akan datang. Kalau perkara itu berlaku saya ingin memohon ampun dan maaf sepanjang persidangan dan sepanjang mengetuai kerajaan di dalam Dewan ini.

“Namun, kalau tak jadi, kita jumpa lagi pada November ini sebagai sidang untuk Belanjawan Negeri Selangor. Kita juga ada keputusan kita untuk dipertimbangkan, kerana Selangor adalah sebagai pendahulu, pengemudi dan peneraju bukan kerja kita untuk menurut.

“Dengan itu, saya ingin mencadangkan Dewan ini ditangguhkan ke suatu masa yang akan ditetapkan kelak dan dijangkakan sebagai persidangan belanjawan,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika mengakhiri penggulungan perbahasan Rancangan Selangor Pertama (RS1).

Kenyataannya itu dilihat tidak sejajar dengan penegasannya pada Mac lalu untuk tetap menguatkuasakan DUN sehingga cukup tempoh, pada Julai tahun depan walaupun jika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran lebih awal.

Menurutnya, hasil perbincangan bersama beberapa menteri besar Pakatan Harapan (PH), adalah lebih baik pentadbiran sedia ada ditamatkan hingga akhir penggal, iaitu April atau Mei tahun depan.

Semalam, kerajaan Pulau Pinang memaklumkan berkemungkinan besar mengadakan pilihan raya negeri (PRN) serentak dengan PRU15 jika ia diadakan menjelang hujung tahun.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri perlu menilai semula keputusan dibuat sebelum ini iaitu tidak akan membubarkan DUN serentak dengan Parlimen.

“Kami akan menilai semula kedudukan sebelum ini, bergantung kepada berapa awal atau lewat PRU akan diadakan. Jadi, sekiranya PRU berlangsung menjelang hujung tahun, saya fikir dengan tempoh beberapa bulan lagi, kemungkinan besar ia (PRN) diadakan serentak,” katanya menurut Bernama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.