Polis selesai rekod keterangan Apandi berkait 1MDB

Polis selesai rekod keterangan Apandi berkait 1MDB

Ia susulan laporan polis dibuat Ahli Parlimen Klang yang mendakwa bekas peguam negara itu menyalahgunakan kuasa berkait siasatan kes 1MDB.

Bukit Aman berkata Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5), Jabatan Siasatan Jenayah mengambil rakaman percakapan Mohamed Apandi Ali bermula 2.30 petang hingga 3.45 petang tadi.
KUALA LUMPUR:
Polis selesai merakamkan keterangan Mohamed Apandi Ali hari ini, berhubung laporan seorang Ahli Parlimen yang mendakwa bekas peguam negara itu menyalahgunakan kuasa berkait siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengambil rakaman percakapan Apandi bermula 2.30 petang hingga 3.45 petang tadi.

Jumaat lalu, media melaporkan, polis menerima laporan dibuat Ahli Parlimen Klang Charles Santiago yang tidak berpuas hati terhadap siasatan 1MDB oleh Apandi ketika beliau menjadi peguam negara dan mendakwa telah menyalahgunakan kuasa melibatkan kes itu.

Santiago dalam laporannya mendakwa, bekas peguam negara itu telah menyalahgunakan kuasanya ketika berkhidmat di bawah kerajaan pimpinan Najib Razak.

Beliau merujuk kepada kenyataan hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar bahawa delegasi Apandi tidak bertemu atau bercakap dengan penderma keluarga diraja Arab Saudi meskipun berkata sebaliknya pada sidang media pada 26 Jan 2016.

Azimah membuat penghakiman itu ketika menolak saman fitnah yang difailkan oleh Apandi terhadap veteran DAP Lim Kit Siang.

Pada 29 Julai, MalaysiaNow melaporkan Apandi sebagai berkata, bahawa beliau akan bekerjasama dengan polis dalam siasatan mereka susulan laporan yang dibuat terhadapnya.

Beliau menjadi tumpuan sekali lagi baru-baru ini selepas dilaporkan bertindak sebagai “orang tengah” dalam perbincangan antara kerajaan dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low.

Pada 16 Julai, Apandi dilaporkan oleh The Malaysian Insight sebagai berkata, bahawa beliau mengatur pertemuan antara Jabatan Peguam Negara dengan wakil Low pada akhir Mei.

Beliau juga berkata, tujuan mesyuarat itu adalah untuk membincangkan penghantaran balik wang yang didakwa disedut oleh Low daripada 1MDB.

Pada hari yang sama, Jabatan Peguam Negara mengesahkan, Low membuat beberapa percubaan untuk menyelesaikan kes terhadap dirinya tetapi ditolak.

Apandi sejak itu diminta menjelaskan mengenai peranannya dalam mengatur pertemuan itu oleh beberapa pihak, terutamanya bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.